Kementerian Luar mengesahkan bahawa setakat ini tiada laporan mengenai rakyat Malaysia yang terjejas susulan insiden keselamatan di Caracas, Venezuela, pada awal Sabtu.
Dalam satu kenyataan media, kementerian itu yang juga dikenali sebagai Wisma Putra, memaklumkan bahawa pihaknya sedang memantau rapi perkembangan yang berlaku di Caracas.
“Kementerian sedang aktif mendapatkan maklumat terkini bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia kekal menjadi keutamaan kami. Kami akan terus memantau keadaan dan memberikan maklumat lanjut jika perlu,” menurut kenyataan itu.
Venezuela mengisytiharkan darurat susulan serangan udara yang menyasarkan ibu negara, Caracas, menurut laporan media antarabangsa.
Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menerusi hantaran di platform Truth Social mendakwa bahawa Presiden Venezuela Nicolas Maduro, bersama isterinya, telah ditahan dan diterbangkan keluar dari negara itu susulan serangan AS ke atas Venezuela.
- Bernama
