Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Sabtu melahirkan kebimbangan berhubung tindakan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) di Venezuela, sambil memberi amaran bahawa ketegangan itu boleh memberi implikasi serius kepada rantau berkenaan dan orde antarabangsa, lapor Anadolu Ajansi.
“Setiausaha Agung amat bimbang dengan peningkatan ketegangan di Venezuela baru-baru ini, yang memuncak dengan tindakan ketenteraan Amerika Syarikat di negara itu hari ini, yang berpotensi membawa implikasi membimbangkan kepada rantau ini,” menurut jurucakapnya Stephane Dujarric dalam satu kenyataan.
“Tanpa mengambil kira situasi di Venezuela, perkembangan ini membentuk satu duluan yang berbahaya,” kata beliau.
Guterres menekankan kepentingan menghormati sepenuhnya undang-undang antarabangsa, termasuk Piagam PBB, selain melahirkan kebimbangan bahawa norma undang-undang asas mungkin tidak dipatuhi.
Beliau menggesa semua pihak di Venezuela untuk terlibat dalam “dialog inklusif” serta mendesak agar hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang dihormati sebagai jalan penyelesaian krisis secara aman.
Presiden AS Donald Trump mengesahkan serangan "skala besar" itu menerusi platform media sosial miliknya, Truth Social, dengan mendakwa bahawa Presiden Venezuela Nicolas Maduro dan isterinya telah ditahan serta diterbangkan keluar dari negara berkenaan.

Venezuela memaklumkan bahawa AS menyerang pepasangan awam dan tentera di beberapa negeri serta mengisytiharkan darurat nasional. Menteri Luar Yvan Gil mengumumkan bahawa Venezuela telah meminta mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan PBB diadakan susulan serangan itu.
Peguam Negara AS Pam Bondi berkata Maduro dan isterinya telah didakwa di New York.
- Bernama - Anadolu
