Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
ULASAN | Saranan Akmal penyatuan Umno-PAS harus disambut

Saya 'angkat topi' buat Dr Akmal Saleh walau apa pun persepsi dan pandangan-pandangan yang bercampur dari semua pihak mengenai cadangan penyatuan Melayu melalui Muafakat Nasional merentasi parti Umno, PAS serta parti-parti Melayu yang lain.

Keikhlasan ini harus disambut baik oleh semua orang-orang Melayu yang berada di dalam Umno, PAS dan keseluruhan parti-parti Melayu kecil yang lain termasuk NGO, NGI mahupun rakyat jelata.

Teras penyatuan Umno dengan PAS seterusnya merentasi parti-parti Melayu yang lain amat tepat pada masanya demi kita memperkasakan kedudukan Melayu dan Islam di tanah air tercinta ini.

Tindakan serta gerak langkah awalan Dr Akmal Saleh yang telah meniup wisel penyatuan Melayu harus dipuji kerana sekurang-kurangnya Ketua Pemuda Umno Malaysia kali ini berani melawan arus walaupun mereka kini adalah sebahagian dari anggota kerajaan Madani.

Sekurang-kurangnya Dr Akmal Saleh telah berani mengorak langkah awal untuk membuka mata keseluruhan pemimpin-pemimpin parti-parti politik Melayu.

Tindakan Dr Akmal Saleh juga selari dengan daya-usaha murni Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mewujudkan payung besar penyatuan Melayu secara menyeluruh.

Namun, semua pihak harus henti membuat apa saja bentuk persepsi dan kita patut membuka ruang yang lebih luas bagi tokoh-tokoh pemimpin Melayu merancang secara terbaik mahupun teramanah mungkin ke arah mencapai matlamat tersebut.

Kita tidak boleh pandang ke belakang lagi setelah Ketua Pemuda Umno Malaysia berani serta tegas menganjurkan konvensyen bagi melakukan percambahan pendapat untuk mencapai matlamat penyatuan Melayu secara mampan.

Kini, sedikit demi sedikit kita mula nampak 'sinaran cahaya di hujung terowong' untuk menrealisasikan hasrat Melayu bersatu-padu semula.

Saya amat yakin sekiranya niat ini benar-benar murni dan tulen insya-Allah Allah swt akan memberkati daya-usaha ini. Ameen!!

Walaupun terpaksa melalui pelbagai cabarannya untuk tindakan susulan selepas ini; semua pihak harus bertungkus-lumus agar hasrat mulia ini dapat direalisasikan.

'Mahu seribu daya dan tak mahu seribu dalih' dan 'tepuklah dada tanyalah sendiri' samada kita mahu menrealisasikan impian ini di saat nasib masa depan bangsa Melayu sedang berada 'di hujung tanduk' serta 'retak menanti belah.'

Kerisauan Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai perpecahan Melayu serta nasib masa depan Melayu yang amat getir harus diberi perhatian oleh semua tokoh-tokoh pemimpin Melayu tanpa kira kerajaan, pembangkang, NGO, NGI termasuk rakyat di peringkat akar umbi.

Ramalan-ramalan Tun Dr Mahathir Mohamad pada kelazimannya tepat hanya masa ketika saja yang bakal membuktikannya.

Tokoh negarawan yang telah bergelumang dalam arena politik sejak tahun 1946 yang telah melihat pelbagai fasa-fasa kepimpinan negara sehingga kini sudah pasti dapat melihat atau meramalkan melalui pengalamannya yang memimpin negara dua puluh dua tahun dua puluh dua bulan akan nasib buruk yang bakal menimpa orang-orang Melayu sekiranya kita terus berpecah-belah.

Dalam masa yang sama semua pihak yang mahu menrealisasikan harapan murni ini dengan tidak boleh mengenakan apa-apa syarat serta tidak boleh toleh ke belakang lagi apa yang pernah berlaku sesama kita di suatu masa dahulu.

Minda yang bersih dan positif amat diperlukan di saat ini untuk kita melunaskan amanah antara manusia dengan Allah swt serta manusia sesama manusia.

Air dicincang tak putus

Semua ego kita harus dinyahkan secara kadar segera demi untuk mencapai penyatuan Melayu yang kekal abadi.

Keistimewaan bangsa Melayu adalah kita boleh berpegang pada pepatah 'air yang dicincang takkan putus' dan 'carik-carik bulu ayam lama-lama bercantum jua.'

Jangan 'biarkan nasi menjadi bubur' serta jangan sama sekali biarkan 'menang sorak kampung tergadai.'

Kedudukan Melayu yang kuat akan terus memperkuatkan kedudukan kaum-kaum lain di negara kita kerana bangsa Melayu amat menyayangi dan menghormati hak-hak bangsa lain sepertimana yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan.

Keseluruhan kaum-kaum lain harus turut menyokong penyatuan Melayu yang kental demi kesejahteraan semua kaum-kaum lain juga di bumi Malaysia yang amat disayangi ini.

Hanya melalui penyatuan Melayu yang mampan saja yang boleh menjaminkan kita semua dapat hidup secara berkasih sayang antara kaum, aman damai, harmonis dan hormat menghormati sesama kita semua.


KHAIRUDDIN ABU HASSAN Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS