Bantuan program Sumbangan Asas Rahmah (Sara) untuk setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun dan ke atas sebanyak RM100 diteruskan tahun ini dan akan dikreditkan pada 9 Feb depan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Dia berkata bantuan itu membabitkan 2.2 juta rakyat Malaysia dan berharap ia akan digunakan bagi melakukan persiapan menyambut ketibaan Ramadan serta Tahun Baharu Cina.
“Bantuan ini dikreditkan pada 9 Feb bagi maksud persiapan Ramadan dan sambutan Tahun Baharu Cina,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.
Pada masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata bantuan Sara untuk penerima miskin tegar akan dikreditkan pada 9 Jan manakala Sumbangan Tunai Rahmah (STR) fasa satu yang berjumlah sehingga RM500 akan dikreditkan pada 20 Jan ini.
Anwar juga berkata pada tahun ini, kerajaan akan memperluas pendaftaran baharu program Sara kepada peniaga kecil termasuk kedai runcit bagi menangani isu masih terdapat penduduk kampung yang belum berdaftar dalam sistem sedia ada.
Beliau berkata sasaran yang ditetapkan membabitkan 10,000 peniaga kecil dalam program Sara sekali gus memperluas manfaat bantuan itu di peringkat akar umbi.
Menyedari kebimbangan rakyat terhadap kenaikan harga barang, Perdana Menteri berkata Program Jualan Rahmah Madani akan bermula pada 9 Jan ini dan dilaksana tiga kali sebulan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).
Beliau berkata secara keseluruhan, lebih 23,000 Jualan Rahmah Madani akan diadakan, yang merangkumi 600 DUN dan 40 lokasi di Wilayah Persekutuan, bagi memastikan barangan asas dijual pada kadar lebih rendah berbanding harga pasaran setempat.
Selain itu, Perdana Menteri berkata sebanyak 5,000 Jualan Agro Madani turut dilaksana dengan penjimatan harga antara 10 hingga 30 peratus bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat.
- Bernama
