Sepulangnya dari United Kingdom semalam, Muhyiddin Yassin disambut meriah oleh pimpinan dan penyokong partinya di lapangan terbang.
Ketika perbahasan mengenai siapa penggantinya sebagai pengerusi PN masih menjadi teka-teki, Presiden Bersatu itu menerima kunjungan dan mandat daripada PAS, pagi ini.
Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman memuat naik sekeping gambar Muhyiddin bersama Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar dengan keterangan ringkas namun memberi gambaran menggembirakan.

“Alhamdulillah. Insya-Allah,” kata Syahir yang juga adalah setiausaha politik kepada Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.
Terdahulu, PN dilihat bergolak susulan krisis pentadbiran di Perlis yang menyaksikan berlakunya pertukaran Menteri Besar, daripada pemimpin PAS kepada Bersatu.
Ia disusuli dengan tindakan Muhyiddin meletakan jawatan selaku pengerusi PN.
Ketika dihubungi, Syahir menjelaskan pertemuan Muhyiddin dan Samsuri hanyalah pertemuan santai, manakala mesyuarat PN akan menyusul dalam masa terdekat.
“Kita akan adakan mesyuarat penuh (PN) dalam masa terdekat. Hari ini casual meeting selepas Tan Sri Muhyiddin baru pulang dari UK.
“Dr Sam bertemu Tan Sri Muhyiddin atas mandat tok guru Presiden (Abdul Hadi Awang).
“Selebihnya kena baca apa di sebalik Alhamdulillah dan Insya-Allah,” katanya kepada Malaysiakini.

Syahir bagaimanapun tidak mengesah atau menafikan ketika ditanya sama ada pertemuan itu berkait dengan spekulasi pencalonan Ahmad Samsuri menggantikan Muhyiddin bagi jawatan Pengerusi PN.
Dia turut memaklumkan mesyuarat Majlis Tertinggi PN akan diadakan dalam masa terdekat, namun tidak memperincikan mengenainya.
