Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas panglima tentera darat, dua isteri ditahan SPRM
Diterbitkan:  Jan 7, 2026 9:26 PM
Dikemaskini: 2:22 PM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan bekas Panglima Tentera Darat, Muhammad Hafizuddeain Jantan bersama dua isterinya kira-kira jam 7 malam ini.

Penahanan mereka bagi membantu siasatan berhubung satu tender perolehan ketenteraan yang kontroversi, maklum Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.

Azam berkata Hafizuddeain dan kedua-dua isterinya akan dibawa ke Mahkamah Putrajaya esok bagi permohonan reman.

“Esok, SPRM dijangka memohon reman bekas panglima dan dua isterinya.

"Pasangan suami isteri yang ditahan itu pula telah direman tujuh hari,” katanya seperti dipetik Bernama.

Difahamkan, siasatan itu tertumpu kepada aliran wang yang disyaki telah dimasukkan ke dalam akaun pegawai berkenaan.

Terdahulu, Hafizuddeain hadir sendiri ke ibu pejabat SPRM sekitar jam 3 petang hari ini untuk membantu siasatan.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin memaklumkan Hafizuddeain Jantan diarahkan mengambil cuti sementara menunggu siasatan pihak berkuasa berhubung dakwaan yang dikaitkan dengannya diselesaikan.

Susulan itu, Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia, Leftenan Jeneral Azhan Md Othman, dilantik sebagai Panglima Tentera Darat ke-31, berkuat kuasa mulai 1 Jan.

Pada 23 Dis lalu, pegawai SPRM hadir ke Kementerian Pertahanan dengan siasatan memberi tumpuan kepada projek-projek yang dilaksanakan menerusi proses tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab Tentera Darat.

Semalam, SPRM turut menahan reman 17 pengarah syarikat yang dipercayai terbabit dalam rangkaian kartel berkaitan tender perolehan Tentera Darat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS