Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kultus Korea: Taklimat polis minggu ini - Saifuddin

Maklumat terperinci berhubung isu kultus dari Korea Selatan yang tular kebelakangan ini akan dikongsi selepas taklimat minggu ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata maklumat sahih hanya akan dikeluarkan selepas menerima taklimat khusus daripada Bahagian Ancaman Ekstrimis Sosial E2, Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) nanti.

“Saya dijadualkan minggu ini untuk ditaklimatkan oleh Cawangan Khas, khususnya bahagian E2. Dalam perkara seperti ini, saya lebih cermat dan berhati-hati. Saya tidak mahu memetik sumber yang pelbagai.

“Pihak yang paling berautoriti ialah E2 kerana kerja hakiki mereka adalah mengesan apa juga bentuk ajaran salah atau ajaran sesat,” katanya pada sidang media selepas majlis Amanat Tahun Baharu 2026 Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya hari ini.

Beliau menghargai keprihatinan orang ramai terhadap isu berkenaan dan memberi jaminan bahawa perkembangan selanjutnya akan dikongsi selepas sesi taklimat rasmi diterima.

Sebelum ini, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mendakwa wujud gerakan kultus menyimpang dari Korea Selatan yang aktif di Malaysia.

Semalam, Saifuddin Nasution dilaporkan berkata pihaknya masih dalam proses mengumpul maklumat berhubung dakwaan kewujudan kultus dari Korea Selatan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS