Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Empat Adun Bersatu angkat sumpah jawatan exco Perlis
Diterbitkan:  Jan 8, 2026 3:08 PM
Dikemaskini: 7:10 AM

Empat Adun Perlis daripada Bersatu hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) di Istana Arau.

Adun Titi Tinggi Izizam Ibrahim, Adun Sena Marzita Mansor, Adun Pauh Megat Hashirat Hassan dan Adun Tambun Tulang Wan Zikri Afthar Ishak, masing-masing dari Bersatu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dalam istiadat yang bermula pada 11.20 pagi.

Turut berangkat pada Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Exco itu Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Hadir sama Menteri Besar Abu Bakar Hamzah, Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis Rus'sele Eizan, Setiausaha Kerajaan Negeri Rahimi Ismail serta lima Adun PAS termasuk bekas Menteri Besar Mohd Shukri Ramli dan seorang Adun Pakatan Harapan.

Rombakan dan perlantikan barisan exco Perlis kali ini agak berlainan apabila tiada Adun PAS menyertai kerajaan negeri selepas PAS Pusat memutuskan solidariti kepada peletakan jawatan Mohd Shukri.

Pada 28 Dis lepas, Abu Bakar yang juga Adun Kuala Perlis mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar kesembilan susulan peletakan jawatan Mohd Shukri, yang juga Adun Sanglang, secara sukarela atas faktor kesihatan.

Sementara itu, menerusi hantaran di Facebook Rasmi Pejabat SUK Perlis, Rahimi dan seluruh warga kerja Pejabat Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis mengucapkan tahniah atas pelantikan exco terbabit.

Hantaran itu turut memaklumkan bahawa Abu Bakar memegang portfolio Pentadbiran dan Kewangan, Pelaburan dan Ekonomi, Tanah dan Sumber Asli, Pelancongan dan Seni Budaya, Infrastruktur dan Kemajuan Luar Bandar serta Keselamatan dan Hubungan Sempadan.

Izizam pula memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kepenggunaan, Sumber Manusia dan Modal Insan manakala Marzita (Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pendidikan, Perpaduan, Kebajikan dan Kemiskinan).

Megat Hashirat dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Kesihatan, Keusahawan dan Koperasi dan Alam Sekitar manakala Wan Zikri Afthar (Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Komunikasi dan Digital, Pengangkutan dan Sains, Teknologi dan Inovasi).

Pada 30 Dis lepas, Abu Bakar berkata pelantikan exco baharu Perlis boleh diteruskan dengan sekurang-kurangnya empat ahli susulan keputusan PAS untuk tidak menyertai barisan pentadbiran negeri di bawah kepimpinan beliau.

Abu Bakar dipetik sebagai berkata jumlah minimum lantikan barisan exco negeri Perlis ialah empat orang iaitu satu pertiga daripada bilangan Adun.

Dalam pada itu, Abu Bakar berharap keempat-empat exco dapat berganding bahu bersama-sama beliau dalam memperkukuh pentadbiran negeri.

Dia juga optimis kesemua exco bersedia dalam apa jua keadaan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Inilah satu cabaran yang harus pihak kami teruskan... cabaran untuk menunjukkan bahawa Perlis dapat menjadi sebuah negeri yang setanding dengan negeri-negeri lain... dan penglibatan exco empat orang ini insya-Allah, dapat diterjemahkan dengan portfolio yang telah dipertanggungjawabkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis itu.

Abu Bakar juga yakin keempat-empat exco mampu memikul amanah yang diberikan, lebih-lebih lagi sebahagian daripada portfolio yang disandang adalah selari dengan tugasan dan pengalaman mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS