Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Akmal: Kritikan dan prinsip dua perkara berbeza
Diterbitkan:  Jan 8, 2026 4:19 PM
Dikemaskini: 9:37 AM
1

Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh hari ini menegaskan bahawa prinsipnya dirinya tidak pernah berganjak walau seinci pun.

“Kritik selama ini pun saya dikritik dan saya tidak ada masalah malah saya melawan lagi.

“Tetapi prinsip saya tidak akan pernah berganjak walau seinci.

Itu bezanya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu hari ini, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata pihak yang mengeluarkan kritikan harus juga bersedia untuk dikritik.

“Jiwa kena besar, Hati kena kental, namun fikiran harus sentiasa terbuka dan selalu berlapang dada,” katanya ringkas, menerusi hantaran yang tidak menyebut sebarang nama secara khusus.

Sementara itu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi juga sebelum ini menyeru pemimpin sayap pemuda dalam parti politik supaya sentiasa meraikan perbezaan pendapat serta bersedia menerima kritikan.

Bercakap kepada pemberita selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 bersama warga Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) di Puchong hari ini, Ahmad Zahid berkata dia pernah memegang jawatan Pemuda Umno dahulu dan memahami bahawa pemuda sentiasa mempunyai idealisme berbeza.

“Pemuda mesti mempunyai idealisme yang berbeza tetapi kalau kena pandangan berbeza atau komen-komen, kita (pemuda) mesti terima itu sebagai melayani apa dipanggil sebagai perbezaan pendapat.

“… kita (pemuda) kerap beri komen kritik terhadap orang dan sebagainya (tetapi) bila orang kritik, kita kena terima. Kenapa bila orang kritik, kita kata orang itu tidak demokratik dan tidak terima hakikat,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, Akmal atau mana-mana pemuda dalam parti politik tidak seharusnya mencari jalan singkat dengan melakukan tindakan tidak wajar hanya kerana ada perbezaan pendapat dalam beberapa perkara.

Dia berkata demikian sebagai mengulas laporan media mengenai Adun Merlimau Melaka itu yang memberi bayangan kemungkinan meletak jawatan dengan mengatakan dirinya mungkin telah sampai ke tahap perlu berundur.

“Kalau orang tidak setuju dengan kita, mula kita mahu cari jalan singkat. Jangan begitu, ini perjuangan politik. Kita (perlu) terima bahawa dalam politik ini bukan semua orang bersetuju dengan kita, kalau tidak setuju, tangani ketidaksetujuan itu dengan penjelasan bukan dengan tindakan yang lain.

“Secara umum mana-mana pemimpin pemuda dalam parti mesti ada idealisme. Soal saranan itu diterima atau tidak, idealisme tetap diperjuangkan, ada kaedah untuk kita menyantuni dan mendepani banyak perkara,” kata Zahid.

Akmal yang terkenal dengan kenyataan kontroversi baru-baru ini sekali lagi mencuri tumpuan apabila mencadangkan supaya Umno keluar daripada kerajaan Madani dan menerima PAS sebagai sekutu baru dan menjadi pembangkang.

Gesaan itu dibuat Akmal pada konvensyen khas yang diadakan Pemuda Umno.

Bagaimanapun Ahmad Zahid menolak gesaan berkenaan dengan mengatakan parti itu tidak mahu mengulangi kesilapan lalu dalam menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti pembangkang ketika ini.

Kata Zahid, setiap keputusan yang bakal dibuat Umno akan diteliti secara menyeluruh dan berhati-hati bagi mengelakkan parti itu "dipatuk ular yang sama" dua kali.

Zahid menegaskan bahawa Umno dan BN akan kekal bersama kerajaan Madani sehingga tamat penggal.

Noor Azleen Ambros

Turut membidas Akmal ialah Ketua Pemuda Umno Johor Noor Azleen Ambros yang menasihatkannya supaya menerima “penolakan” terhadap gesaannya agar Umno menarik sokongan kepada pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan beralih ke blok pembangkang.

“Sebab kita tidak boleh harapkan hanya apa yang kita cakap dan kita mahu sahaja yang betul.

“Ada masanya apa yang kita rasa betul akan ditolak. Jadi kita kena bersedia untuk menerimanya,” kata Azleen, sambil menegaskan nasihat itu tidak menafikan hak Adun Merlimau berkenaan untuk berpegang pada prinsipnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS