Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jangan berkokok berlebihan - Adun Duyong bidas pihak 'balun' Akmal
Diterbitkan:  Jan 8, 2026 12:08 PM
Dikemaskini: 4:21 AM

Adun Duyong, Mohd Noor Helmy memberi amaran kepada mana-mana pihak agar tidak berlebih-lebihan menyerang Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh terutama di media sosial miliknya.

Dalam satu hantaran di Facebook, pemimpin Umno Melaka itu berkata tindakan Akmal yang juga Adun Merlimau dibuat atas kapasitinya selaku Ketua Pemuda Umno.

"Tindakan YB Datuk Dr Akmal Saleh itu pilihan dia sebagai Ketua Pemuda Umno Malaysia.

"Pada yang berlebihan balun Akmal di ruang media sosial aku, adalah pilihan aku nak block, nak delete atau hide.

"Jika aku pilih jawab komen, kita sama-sama jangan kecil hati. Chill-chill je lahanat," katanya yang juga adalah timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Melaka itu.

Akmal yang terkenal dengan kenyataan kontroversi baru-baru ini sekali lagi mencari tumpuan apabila mencadangkan supaya Umno keluar daripada kerajaan Madani dan menerima PAS sebagai sekutu baru.

Gesaan itu dibuat Akmal pada konvensyen khas yang diadakan Pemuda Umno.

Bagaimanapun Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menolak gesaan berkenaan dengan mengatakan parti itu tidak mahu mengulangi kesilapan lalu dalam menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti pembangkang ketika ini.

Kata Zahid, setiap keputusan yang bakal dibuat Umno akan diteliti secara menyeluruh dan berhati-hati bagi mengelakkan parti itu "dipatuk ular yang sama" dua kali.

Susulan itu Akmal semalam memberi bayangan mengenai kemungkinan untuk “mengundur diri”.

Meskipun tidak menjelaskan lebih lanjut, ia dipercayai merujuk kepada cadangannya yang ditolak Zahid.

“Kita dah usaha sehabis baik, kita dah sampaikan sehabis baik, mungkin kelemahan datang dari diri saya sendiri," kata Akmal.

Sementara itu, Mohd Noor Helmy berkata dia merupakan produk daripada Pemuda Umno dan telah lama mengenali Akmal.

"Aku ni produk yang dihasilkan oleh kilang Pemuda Umno dan aku dengan Akmal ni dah bersahabat dari kami tak ada jawatan apa pun.

"Jangan berkokok berlebihan," tulisnya dengan tanda pagar #PemudaBersaudara dan #SekaliPemudaSelamanyaPemuda.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS