Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno tak akan 'tebuk atap' walau ada desakan Pemuda, kata Zahid
Diterbitkan:  Jan 6, 2026 12:00 PM
Dikemaskini: 7:55 AM
1

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan bahawa partinya bersama BN akan terus kekal dalam kerajaan perpaduan dengan Pakatan Harapan (PH) sehingga tamat penggal kali ini.

Katanya, ia antara perkara yang dibincangkan pada mesyuarat Biro Politik malam semalam.

Turut dibincangkan adalah gesaan daripada ketua pemuda parti itu, Dr Muhamad Akmal Saleh pada Sabtu lalu supaya Umno menarik diri daripada kerajaan perpaduan dan menjadi pembangkang.

"Saya mempunyai pendirian daripada awal, parti juga mempunyai pendirian daripada awal bahawa kita tidak akan pernah melakukan tebuk atap kepada kerajaan yang ada sekarang ini.

"… dan kita akan bersama-sama dengan Kerajaan Perpaduan ini hingga tamat penggal. Bila pun penggalnya yang akan diumumkan nanti ia adalah penggal yang secukupnya sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 ," katanya.

Dia berkata demikian kepada wartawan selepas menghadiri Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), di Putrajaya hari ini.

Zahid seterusnya menegaskan tiada keputusan sebarang muktamad dibuat pada mesyuarat malam semalam .

“Kami telah membincangkan secara terbuka dan kami telah melakukan semua penelitian dan perincian terhadap saranan Pemuda itu dan tidak ada keputusan muktamad yang telah dicapai,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai desakan supaya Umno dan PAS menghidupkan semula kerjasama di bawah Muafakat Nasional (MN), Zahid berkata, partinya tidak mahu dikhianati oleh pihak yang sama dan tidak mahu episod tersebut berulang.

“Kita tidak mahu bernostalgia menggunakan apa-apa nama yang pernah dicadangkan dahulu dan kita belum memutamadkannya lagi.

“Kta tidak mahu dipatuk oleh ular yang sama bagi kali yang kedua di tempat yang sama,” katanya lagi.

Sementara itu, Akmal dalam satu hantaran di Facebook, mengucapkan pengharagaannya kepada presiden Umno kerana bersetuju dengan dua usul dari konvensyen khas Pemuda tempoh hari.

Usul berkenaan, katanya adalah berhubung kerjasama penyatuan orang Melayu dimulakan dengan Umno dan PAS serta menolak mana-mana cadangan untuk “tebuk atap” kerajaan sedia ada .

“Insy-Allah parti boleh mulakan dengan meneliti cara bagaimana untuk bekerjasama selepas ini demi untuk penyatuan orang Melayu,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS