Wajarkan tindakan Setiausaha Agung Umno, yang juga Ahli Parlimen Kangar, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad, selaku setiauasah agung Umno, mendedahkan secara terbuka apa yang didakwanya keadaan dalam Umno Perlis yang kucar-kacir dan tidak bersatu?

Dua pemimpin kanan Umno - Timbalan Presiden Umno, Datuk Ser Najib Tun Razak dan Naib Presiden, Datuk Mohd Ali Rustam - masing-masing sependapat bahawa tindakan Radzi itu tidak wajar.

Mereka berdua sependapat bahawa tindakan Radzi membincangkan isu mengenai kepimpinan Umno Perlis tidak seharusnya dibincangkan secara terbuka kerana ia boleh membawa kepada implikasi yang serius.

Najib dilaporkan berkata, beliau akan membincangkan isu itu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi manakala Mohd Ali menyifatkan pandangan terbuka setiausaha agung Umno itu yang menyentuh kedudukan Menteri Besar Perlis dan kepimpinan Umno negeri itu boleh mencetuskan spekulasi.

Kelmarin, Mohd Radzi berkata sepanjang hampir empat tahun menjadi setiausaha agung Umno, beliau mendapati Umno Perlis tidak bersatu dan ia memerlukan perubahan kepimpinan.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas menghadiri majlis taklimat dan perasmian gerak kerja pilihanraya Umno bahagian Padang Besar. Hadir sama ialah Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid yang juga Ahli Parlimen Padang Besar dan Ketua Umno bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainol Abidin.

Radzi berkata, budaya berpuak-puak dalam parti yang wujud di Perlis menyebabkan semangat kerjasama antara ketiga-tiga Parlimen - Kangar, Padang Besar atau Arau hilang, malah semangat perpaduan sesama ahli dalam bahagian juga turut lenyap.

Radzi juga dilaporkan berkata, sudah tiba masanya kepimpinan parti di Perlis diubah, termasuk menggantikan Menteri Besarnya Datuk Datuk Seri Shahidan Kassim kerana beliau melihat pergolakan Umno di Perlis semakin meruncing.

Layanan istimewa

Walaupun Perlis sebuah negeri yang kecil tetapi ia mendapat layanan istimewa kerana mempunyai dua menteri penuh - Radzi selaku Menteri Ehwal Dalam Negeri, manakala Azmi menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar. Manakala Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Syed Radzlan Putra Jamalullail. tidak diberi jawatan pentadbiran.

Memang diketahui umum di Perlis bahawa Shahidan tidak sebulu dengan ahli-ahli Parlimen dari negeri, khususnya dengan Radzi dan Azmi.

Shahidan didakwa bermusuh dengan pemimpin-pemimpin Umno yang dilihat berpotensi untuk mencabar kedudukan politiknya dalam parti.

Beliau juga dikatakan bercita-cita untuk bertanding jawatan paling kurang naib presiden parti demi memperteguhkan kedudukannya sebagai menteri besar Perlis

Yang menariknya, Radzi membangkitkan perkara tersebut ketika pilihanraya umum yang akan datang bakal diadakan tidak lama lagi.

Ia dianggap ulangtahun apa yang berlaku sebelum pilihanraya 2004 apabila Shahidan telah membangkitkan apa yang didakwanya 'konspirasi berunsur fitnah' yang dilemparkan terhadapnya yang sedikit sebanyak menjejaskan kewibawaannya sebagai seorang Menteri Besar.

Shahidan mendakwa, selain terpaksa dengan tohmahan pihak pembangkang, beliau juga menjadi sasaran tohmahan beberapa pemimpin Umno negeri Perlis yang cuba menjatuhkannya.

Antara tohmahan tersebut ialah Shahidan didakwa berpakat dengan adiknya, Ismail Kassim menggelapkan wang Bernas dan beliau menyalahgunakan wang perbendaharaan negeri Perlis semasa lawatan ke luar negeri termasuk membawa keluarganya bersama.

'10 dalil'

Selepas itu Shahidan sekali lagi menjadi sasaran dalam percaturan poltik Umno Perlis apabila sebuah laman menyiarkan e-mail yang bertajuk "Dalil Kenapa Dato Seri Radzi wajib jadi MB Perlis".

Emel itu memaparkan 10 dalil mengapa Shahidan tidak lagi layak menjadi menteri besar Perlis dan perlu digantikan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri itu.

Selama ini, masalah dalaman Umno Perlis, khususnya ketegangan hubungan antara ketiga-tiga pemimpin utama negeri itu tidak dihebohkan di dalam media.

Kerana itu, ramai orang luar yang tidak menyedari apa yang sedang berlaku, tetapi hakikatnya ialah semuanya permasalah itu selama ini menjadi "api dalam sekam" dan menunggu masa untuk meletup.

Shahidan yang juga pengerusi badan perhubungan Umno Perlis menafikan Umno negeri dalam keadaan kucar-kacir dan tidak bersatu.

"Masalah besar saya tak tahu. Kalau tahu tak apa. Apa masalah dalaman saya tak tahu. Semua negeri ada perbezaan pendapat (di kalangan pemimpin) tapi semasa pilihan raya semua perlu bersama," katanya.

Shahidan dipetik oleh Bernama sebagai berkata beliau mengutamakan kekuatan parti terutama menjelang pilihanraya umum dan usaha berterusan dilakukan bagi memantapkan sokongan rakyat terhadap Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Apa yang berhubung dengan (masalah) parti, serah kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) dan presiden parti. Saya ambil komen mengenai diri saya secara positif," katanya.

Shahidan berkata beliau sangat sayangkan parti dan akan terus melaksanakan mandat yang telah lama diberikan kepadanya untuk menerajui kepimpinan negeri.

Jejas imej presiden?

Menurutnya jentera pilihan raya BN peringkat negeri berjalan lancar dan perkembangan terkini mengenainya telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri.

Mengenai perubahan dalam kepimpinan Umno sebagaimana yang disebut oleh Mohd Radzi, Shahidan berkata perubahan itu perlu dilakukan secara bersama.

Katanya, beliau juga sentiasa memberi peluang kepada tiga anggota Parlimen di Perlis untuk menyertai mesyuarat-mesyuarat bahagian meskipun mereka tidak memegang sebarang jawatan.

Misalnya, katanya, Menteri Alam Sekitar dan Sumber Asli, Datuk Seri Azmi Khalid, dilantik sebagai Pengerusi Penerangan Umno Negeri dan Pengerusi BN bahagian Padang Besar meskipun dia tiada jawatan di peringkat bahagian Umno Padang Besar.

Katanya Radzi, yang juga Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, juga bebas menghadiri mesyuarat jawatankuasa bahagian walaupun beliau tiada jawatan dalam Umno bahagian Kangar.

Begitu juga, anggota Parlimen Arau, Datuk Seri Diraja syed Razlan Jamalullail yang boleh menghadiri mesyuarat bahagian walaupun tiada jawatan parti di peringkat bahagan Umno Arau.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Kangar, Datuk Hashim Suboh juga dilapor menafikan wujud masalah perpecahan, sebagaimana yang dibangkitkan oleh Radzi itu.

Begitu juga dengan Ketua Penerangan Umno bahagian Arau, Datuk Abu Bakar Ismail yang kenyataan Radzi itu turut menjejas nama baik Presiden Umno memandangkan jawatan setiausaha agung Umno adalah lantikan Presiden Umno dan bukan dipilih dalam perhimpunan agung.

Kenyataan itu, tambahnya, akan merugikan Umno di saat parti itu membina kekuatan menjelang pilihanraya umum dan sepatutnya dibangkitkan dalam forum Umno yang tertutup bagi mengelak timbulnya pelbagai spekulasi.