Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda Bersatu, MIPP minta Hadi beri ruang komponen PN buat ketetapan sendiri

Dua ketua Pemuda parti komponen PN meminta Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, memberikan ruang dan masa kepada parti komponen untuk membincangkan sendiri terlebih dahulu berhubung pelantikan pengerusi baru gabungan mereka.

Ini selepas Hadi menggesa agar para pemimpin gabungan itu segera mengadakan mesyuarat tergempar majlis tertinggi PN dan mengesahkan semula pelantikan pengerusi baru mereka.

Bercakap kepada Malaysiakini, Ketua Pemuda MIPP, Justin Prabakaran berkata, parti komponen harus diberi masa terlebih dahulu untuk membincangkan perkara itu susulan peletakan jawatan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, sebagai pengerusi PN.

“Biarkan komponen bersedia sebelum sebarang mesyuarat segera,” kata Justin ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, dia berkata, “Menghormati konsensus adalah penting, dan gabungan itu memerlukan seorang pengerusi yang sederhana, inklusif, dan mampu bekerjasama secara padu dengan semua komponen dalam masyarakat berbilang etnik Malaysia.”

“Terdapat proses yang perlu diikuti, dan saya berharap semua komponen akan bekerjasama dalam semangat itu,” tambahnya.

Dalam surat bertarikh 10 Januari kepada ahli majlis tertinggi PN, Hadi, yang merupakan timbalan pengerusi, berkata mesyuarat tergempar itu mesti diadakan untuk mengesahkan peletakan jawatan Muhyiddin dan melantik pengganti, yang dipercayai daripada PAS.

“Bagi tujuan kelangsungan pentadbiran PN, maka saya sebagai timbalan pengerusi PN berpandangan, hendaklah disegerakan suatu panggilan mesyuarat tergempar MT PN bagi memenuhi keperluan Fasal 8.3(I)(b) Perlembagaan PN.

“Diharapkan perkara ini diambil perhatian dan tindakan sewajarnya memandangkan tarikh kuat kuasa peletakan jawatan telah berjalan melebihi 10 hari,” kata Hadi.

Hadi sebelum ini telah mengisytiharkan kesediaan PAS untuk mengambil alih jawatan pengerusi PN, tetapi parti itu masih belum memutuskan sama ada calon itu mestilah seorang ‘ulama’ atau daripada kalangan profesional parti itu.

Peletakan jawatan Muhyiddin berkuat kuasa pada 1 Januari 2026.

Secara berasingan, Ketua Pemuda Bersatu, Hilman Idham, juga menggesa Hadi untuk menghormati proses dalaman parti komponen PN yang lain.

“Bersatu sendiri akan membuat beberapa ketetapan dalam mesyuarat MPT yang akan berlangsung dalam masa terdekat.

"Begitu juga dengan PAS dan komponen lain seperti Gerakan dan MIPP," kata Hilman dipetik oleh FMT.

Selain Hadi, timbalan pengerusi PN yang lain ialah Presiden Gerakan Dominic Lau, Presiden MIPP P Punithan, dan Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin.

Pada 30 Disember lalu, sayap pemuda PN, yang turut merangkumi Ketua Pemuda Gerakan Lee Boon Shian, berkata bahawa sebarang keputusan mengenai kepimpinan gabungan itu mesti dirujuk, dibincangkan, dan diluluskan oleh Majlis Tertinggi PN.

Walau bagaimanapun, Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden tidak menyokong kenyataan 30 Disember itu.

Afnan hari ini turut tampil mengulas kenyataan rakan sejawatnya.

“Ada yang kata minta PAS hormati ketetapan parti-parti komponen mengenai pelantikan Pengerusi PN yang baru kelak.

“Nak tanya sikit. Masa kamu umumkan pemimpin parti kamu sebagai calon tunggal untuk jadi PM, ada kamu hormat ketetapan parti-parti rakan?

“Umum pulak di depan batang hidung kawan dalam majlis yang kamu jemput kawan datang jadi tetamu. Waktu itu ada kamu hormat kawan?” soalnya, dipercayai merujuk kepada tindakan Bersatu mengumumkan Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri PN.

Dia turut mengungkit tindakan Adun Bersatu yang terlibat menandatangani akuan berkanun (SD) untuk menjatuhkan pentadbiran kerajaan Perlis yang diterajui menteri besar PAS.

“Menjatuhkan menteri besar dari parti rakan, mengkhianati kawan, ada kamu hormati pendirian dan ketetapan parti rakan?

“Kena kat kawan tak apa, tak perlu hormat. Bila kena kat diri sendiri, baru desak supaya kawan hormat diri kita. Betulkah begitu?

Brother, kalau nak minta kawan beri hormat, kenalah hormat juga kawan. Simple,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS