Badan Perhubungan Umno Perlis menolak dakwaan Setiausaha Agung parti Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad bahawa terdapat krisis dalam Umno negeri itu.

Setiausahanya, Datuk Che Sulaiman Shapie berkata, Umno negeri sebaliknya memperakukan bahawa jentera parti kini berada dalam keadaan terbaik dan amat bersedia untuk menghadapi pilihanraya.

"Mesyuarat khas pada jam 11 malam tadi telah membuat keputusan menolak sama sekali dakwaan bahawa terdapat krisis di dalam Umno negeri Perlis," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dua hari lalu, Radzi yang juga ahli Parlimen Kangar, berkata sepanjang hampir empat tahun menjadi setiausaha agung Umno, beliau mendapati Umno Perlis tidak bersatu.

Malah, beliau turut menyarankan agar perubahan kepimpinan dilakukan di negeri itu, demikian menurut Bernama

Che Sulaiman berkata, mesyuarat malam tadi memutuskan untuk menyelesaikan apa jua isu dalaman secara tertutup dan berhemah demi membantu dan menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Presiden parti dalam memberi tumpuan kepada agenda besar parti, agama, bangsa dan negara.

Beliau berkata mesyuarat khas itu turut dihadiri Ketua Umno Bahagian Padang Besar, Kangar dan Arau; timbalan ketua, naib ketua, Ketua Wanita, Ketua Pemuda Umno Bahagian Padang Besar dan Kangar serta Ketua Puteri Umno Bahagian Padang Besar dan Arau.