Khir Toyo jumpa pemimpin kuil Hindu di S'gor
Pemimpin kuil di seluruh Selangor akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo bagi membincangkan semua isu membabitkan kuil di negeri itu Jumaat ini.
Perbincangan tersebut yang julung kali diadakan di antara kedua-dua pihak akan diadakan mulai jam 4.30 petang di kuil Batu Caves.
Presiden Majlis Hindu Malaysia (MHC), Datuk R Nadarajah berkata, 839 orang terdiri daripada pengerusi, setiausaha atau wakil kuil akan hadir dalam perbincangan tersebut.
Pemimpin kuil di seluruh Selangor akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo bagi membincangkan semua isu membabitkan kuil di negeri itu Jumaat ini.
Perbincangan tersebut yang julung kali diadakan di antara kedua-dua pihak akan diadakan mulai jam 4.30 petang di kuil Batu Caves.
Presiden Majlis Hindu Malaysia (MHC), Datuk R Nadarajah berkata, 839 orang terdiri daripada pengerusi, setiausaha atau wakil kuil akan hadir dalam perbincangan tersebut.
Selangor mempunyai 839 buah kuil sebagaimana yang berdaftar dengan kerajaan negeri Selangor.
Katanya, sebarang masalah mengenai kuil seperti tanah, struktur pembinaan boleh dikemukakan dalam perbincangan tersebut.
"Dr Mohd Khir mahu tahu apakah masalah sebenar yang dihadapi oleh kuil-kuil di seluruh Selangor.
"Kita juga akan menghantar satu memorandum kepada Menteri Besar mengenai isu kuil di negeri ini," katanya dalam sidang media di Batu Caves petang tadi.
Siapa buka pintu?
Nadarajah percaya perbincangan tersebut ekoran daripada jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa tiada lagi kuil Hindu akan dirobohkan pada masa depan.
Beliau berkata, pihaknya menyokong kepimpinan Dr Mohd Khir memerintah negeri Selangor dan menegaskan MHC merupakan jambatan antara jambatan masyarakat India dengan kerajaan.
Sementara itu, Nadarajah menegaskan bahawa pihak pengurusan kuil Batu Caves tidak tahu menahu bagaimana pintu kuil dibuka kepada orang ramai pada malam 24 November lalu.
"Dalam amalan penganut Hindu, pintu kuil akan ditutup selepas jam 10 malam dan hanya dibuka keesokan harinya, melainkan malam perayaan Thaipusam, Maha Sivaratli dan Vaikundaekthasi.
"Tetapi pada malam tersebut, kira-kira 5,000 orang India telah berkumpul di dalam kawasan kuil tanpa pengetahuan pihak pengurusan.
"Ini yang menjadi persoalan? Pihak mana yang bertanggungjawab membuka pintu pagar tersebut?" katanya.
Tidak salahguna wang
Mereka yang berkumpul di perkarangan kuil tersebut merupakan penyokong Hindraf yang mahu mengadakan perhimpunan di depan Kedutaan British di ibu negara pagi keesokannya.
Nadarajah berkata, akibat perhimpunan tersebut, telah berlaku sedikit kekecohan menyebabkan pengurusan kuil memanggil anggota polis untuk mententeramkan keadaan.
Ketika kejadian itu, Nadarajah berada di India.
Pihak pengurusan kuil, kata beliau, membuat laporan polis pada jam 2.30 pagi hari yang sama di atas alasan `orang meceroboh kawasan kuil.'
Nadarajah juga mendakwa, beliau menghubungi Abdullah supaya menggugurkan tuduhan ke atas mereka kerana tidak tahu siapa yang berada di dalam kawasan kuil ketika itu.
Beliau juga mengulas mengenai dakwaan Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk M Kayveas yang mendakwa wang yang dipungut dari perayaan Thaipusam telah disalahgunakan.
"Wang tersebut digunakan untuk membantu masyarakat India termasuk memberi RM1 juta untuk pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil berhampiran kuil Batu Caves," katanya.

