Bekas perdana menteri Najib Razak memaklumkan Mahkamah Tinggi bahawa peranannya dalam SRC International Sdn Bhd hanya terhad kepada memberi kelulusan serta menggunakan kuasa veto, dan dia tidak membuat sebarang pelantikan atau pindaan dalam syarikat itu.
Najib, 72, berkata dia hanya meluluskan pelantikan ahli lembaga pengarah yang dikemukakan kepadanya dan tidak terlibat dalam mencadangkan atau memilih calon.
Dia berkata demikian ketika dirujuk kepada sepucuk surat bertarikh 1 Ogos 2011, yang menunjukkan kelulusannya terhadap pelantikan Ismee Ismail, Suboh Yassin, Che Abdullah @ Rashidi Che Omar, Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Nik Faisal Ariff Kamil sebagai ahli lembaga pengarah SRC.
"Saya menggunakan kuasa veto di bawah Perkara 67 Memorandum dan Artikel Persatuan SRC namun saya tidak memulakannya (pelantikan ahli lembaga pengarah)," katanya semasa disoal balas oleh peguam SRC Kwan Will Sen dalam saman sivil RM42 juta yang difailkan oleh SRC dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd, terhadapnya.
Kepada soalan Kwan sama ada bekas anggota Parlimen Pekan itu boleh mengemukakan bukti bahawa pelantikan ahli lembaga pengarah SRC tidak dimulakan olehnya, Najib menjawab tidak.
"Saya tidak dapat menunjukkan bukti seperti itu, bagaimanapun saya boleh memberi keterangan bahawa saya tidak mengenali sesetengah daripada individu terbabit secara peribadi.
"Mereka (pihak pengurusan) yang perlu mencari dan menamakan siapa yang mereka mahu (sebagai ahli lembaga pengarah). Saya hanya membuat keputusan akhir," katanya sambil menambah bahawa dia tidak mengenali Nik Faisal tetapi individu itu telah disyorkan oleh pihak pengurusan kerana memiliki kelayakan yang sesuai.
Najib juga menolak cadangan bahawa langkah memberi kelulusan kepada pelantikan kelima-lima individu bermaksud dia mengawal ahli lembaga pengarah berkenaan kerana kuasa untuk menolak sesuatu cadangan tidak sama dengan kuasa untuk membuat cadangan tersebut.
Najib turut menafikan bahawa kedudukannya membolehkannya memberi arahan dalam urusan SRC dan menegaskan keputusan pihak pengurusan dibuat secara bebas oleh syarikat itu.
Saman itu, yang difailkan pada 2021, membabitkan SRC dan Gandingan Mentari yang memohon deklarasi bahawa Najib bertanggungjawab terhadap mereka atas penerimaan RM42 juta serta menuntut ganti rugi bagi penerimaan dengan pengetahuan, bantuan tidak jujur, tort salah laku dalam jawatan dan penyalahgunaan kuasa.
SRC sebelum ini menggugurkan enam pengarah daripada saman itu termasuk Ismee Ismail, Suboh Md Yassin serta Shahrol Azral Ibrahim Halmi, dan mengekalkan Najib sebagai defendan tunggal namun Mahkamah Tinggi kemudian membenarkannya mengeluarkan notis pihak ketiga terhadap mereka.
Perbicaraan di hadapan hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung 21 Jan ini.
-Bernama
