Kumpulan pemantau pilihan raya Bersih menyuarakan kebimbangan berhubung pelantikan Yusof Yacob sebagai pengerusi Sabah Development Berhad (SDB), yang didakwa boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap integriti agensi kerajaan.

Pengerusi Bersih Faisal Abdul Aziz berkata, langkah melantik individu yang dikaitkan dengan dakwaan skandal rasuah ke jawatan penting seolah-olah memberi gambaran bahawa isu integriti di Sabah sedang diketepikan.

"Pelantikan ini memberi tanggapan bahawa skandal rasuah di Sabah akan 'disapu ke bawah permaidani' dan dibiarkan berlalu begitu sahaja.

"Ini jelas menunjukkan betapa pentingnya pihak berkuasa, khususnya SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), untuk mengambil tindakan tegas tanpa rasa takut atau pilih kasih," katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini.

Yusof Yacob

Yusof Yacob, yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sindumin, secara rasmi memulakan tugas sebagai pengerusi SDB pada Rabu bagi menggantikan Poon Ming Fung. Sebelum ini, dia merupakan pengerusi Qhazanah Sabah Berhad.

Pelantikan tersebut menjadi perhatian selepas dia sebelum ini menafikan penglibatan dalam dakwaan rakaman video berkaitan lesen perlombongan di Sabah pada 2024, yang menurutnya adalah manipulasi teknologi kecerdasan buatan (AI).

Pada Jun 2025, laporan media menyebut bahawa Yusof antara individu yang memberi kerjasama kepada SPRM berhubung siasatan dakwaan rasuah melibatkan beberapa wakil rakyat di negeri itu.

Sementara itu, Faisal berkata kegagalan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang terbabit dalam dakwaan salah laku akan menghakis kepercayaan awam terhadap pihak berkuasa.

"Dalam sebarang proses pelantikan, kerajaan mesti menetapkan standard yang tinggi iaitu calon bukan sahaja perlu bersih, malah mesti dilihat bersih.

"Tanpa kriteria kompetensi dan integriti ini, bagaimanakah individu yang dilantik boleh dihormati oleh kakitangan, dan lebih penting lagi, bagaimana kita mahu memastikan GLC (syarikat berkaitan kerajaan) itu sendiri kekal bebas daripada dicemari isu salah laku?" tegasnya lagi.