Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Noraini: Segerakan akta dana politik untuk lindungi Umno dari fitnah

PAU 2025 | Ketua Wanita Umno, Noraini Ahmad, hari ini menggesa parti itu supaya menerajui usaha menggubal undang-undang yang telah lama dibahaskan bagi mengawal selia pendanaan politik.

Dalam ucapan dasar pada perhimpunan agung sayap tersebut, Noraini yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi menegaskan, langkah “berani” itu bukan sahaja akan melindungi Umno daripada “fitnah”, malah memelihara demokrasi Malaysia.

“Dalam usaha kita membina sistem politik yang adil dan matang, kita memerlukan komitmen politik yang kukuh dan progresif. Umno mesti menjadi pelopor untuk pastikan akta pendanaan politik diwujudkan.

“Dengan akta ini, setiap sen yang masuk akan direkodkan dengan jelas. Setiap sumbangan akan didedahkan secara telus. Setiap penderma akan diketahui identiti mereka, tiada lagi ruang untuk fitnah dan tohmahan,” katanya dalam ucapan kepada 1,131 perwakilan yang berhimpun di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ni.

Ahli Parlimen Parit Sulong itu juga berkata adalah sesuatu yang malang apabila Umno dan BN menjadi “mangsa” kepada dakwaan yang dikaitkan dengan penyalahgunaan pendanaan politik.

Dis lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran, berkata kerajaan terbuka menerima pandangan dalam merangka Rang Undang-Undang Pembiayaan Politik, susulan siri 20 sesi libat urus akar umbi.

Bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Sept 2023, kerajaan menetapkan sasaran untuk menggubal undang-undang baru sebelum PRU - yang mesti diadakan selewat-lewatnya Feb 2028.

Noraini mendakwa, berbeza daripada parti lain, Umno memang tidak tidak takut dengan undang-undang yang dicadangkan itu kerana disifatkan bukan sahaja melindungi parti malah demokrasi di Malaysia.

“Ada pihak yang mungkin takut dengan akta ini – takut terbongkar, takut terdedah, takut rahsia mereka diketahui. Tetapi bukan Umno. Umno parti perjuangan, Umno adalah parti yang berani.

"Kita sudah lebih tujuh darsawarsa mempertahankan maruah bangsa dan negara. Walhasil, kita tidak akan tunduk kepada ketakutan atau keraguan. Umno sudah membuktikan kesungguhan kita untuk berubah.

"Sekarang masa untuk kita buktikan kepada Malaysia bahawa Umno merupakan satu wadah yang berani bertindak," tegasnya.

Persoalan mengenai “derma politik” untuk Umno telah menimbulkan pelbagai tanda tanya dan menjadi sebahagian penting daripada pertuduhan RM2.6 bilion berkaitan 1MDB terhadap bekas presiden parti itu, Najib Razak, yang sudah disabitkan bersalah oleh mahkamah.

Merujuk kepada keputusan terhadap Najib, Noraini menyatakan Wanita Umno berharapan masih ada “cahaya di hujung terowong” untuk bekas perdana menteri itu, dan pada masa sama menggesa ahli memberi kepercayaan penuh kepada presiden mereka, Ahmad Zahid Hamidi.


Laporan oleh Alyaa Alhadjri, Shakira Buang, dan Haspaizi Zain


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS