PAU 2025 | Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh, berkata dia menghormati keputusan Dr Akmal Saleh yang mengumumkan perletakan jawatan sebagai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka.
Bagaimanapun, Ab Rauf berkata, keputusan akan dibuat selepas dia menerima surat mengenai hasrat tersebut daripada Akmal.
“Sebagai ketua negeri, saya akan menunggu surat secara rasmi untuk saya pertimbangkan sama ada saya menerima atau tidak menerima perletakan jawatan tersebut.
"Ia tertakluk kepada perbincangan yang akan saya adakan nanti,” katanya kepada pemberita selepas ucapan dasar Ketua Pemuda Umno pada Perhimpunan Pemuda Umno di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, dia menghormati keputusan Akmal itu yang menurutnya bertindak selaras dengan peranan Adun Merlimau terbabit sebagai ketua pemuda.
“Saya menghormati keputusan Dr Akmal Salleh kerana beliau berkarya dengan cara pemuda. Saya juga akan meneliti dan menilai dari sudut kaedah bagaimana isu ini boleh diuruskan dalam masa terdekat,” katanya lagi.
Sementara itu, perwakilan dari Hang Tuah Jaya, Muhammed Mubien Khairudin, yang ditemui media turut menyatakan sokongan terhadap tindakan Akmal.
Muhammed Mubien berkata tindakan Akmal itu mencerminkan pendirian tegas Pemuda Umno.
“Kita telah mendengar ucapan dasar beliau tadi dan jelas amat bersetuju dengan Ketua Pemuda Umno. Selama ini DAP telah mencabar kita bukan sekali dua, dan kita sudah tiga tahun bersabar,” katanya.
Dia menambah, tindakan Akmal meletakkan jawatan sebagai exco negeri Melaka menunjukkan satu bentuk kuasa dan prinsip politik yang jelas.
"Maksudnya, beliau menunjukkan 'kalau aku boleh buat, kenapa engkau tidak boleh'. Saya percaya akar umbi akan faham mesej yang cuba disampaikan melalui tindakan ini,” katanya.
Laporan oleh Shakira Buang, Haspaizi Zain, dan Alyaa Alhadjri
