Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes bunuh pelajar: Hujah pembelaan DSP Nazri disambung 26, 27 Mac
Diterbitkan:  Jan 15, 2026 8:00 PM
Dikemaskini: 12:00 PM

Mahkamah Tinggi di Ipoh hari ini menetapkan 26 dan 27 Mac ini untuk mendengar hujah pembelaan dalam kes melibatkan pegawai kanan polis DSP Mohd Nazri Abdul Razak, yang didakwa membunuh Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, tiga tahun lepas.

Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet menetapkan tarikh itu, selepas pihak pendakwaan mengemukakan hujahan melibatkan empat elemen pendakwaan, antaranya mendakwa tertuduh telah melanggar mangsa kelajuan tinggi tanpa sebarang tindakan evasif.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Afzainizam Abdul Aziz dalam hujahan berkata tindakan mengejar dan merempuh tanpa membrek di zon sekolah, menunjukkan tertuduh bertindak dengan pengetahuan bahawa perbuatannya boleh mengundang bahaya ke atas mangsa.

Beliau berkata saksi daripada Perodua memaklumkan, data kenderaan menunjukkan Perodua Ativa yang dipandu lelaki itu berada pada kelajuan 90.9 kilometer sejam, dengan lampu brek tidak diaktifkan serta tayar bergerak dalam keadaan lurus.

“Oleh itu, adalah jelas bahawa perbuatan tertuduh dilakukan dengan pengetahuan bahawa, ia amat berbahaya sehingga berkemungkinan membawa kepada kematian atau suatu bencana tubuh yang mungkin menyebabkan kematian,” katanya.

Selain itu, Afzainizam berkata ketika kejadian, lelaki itu memandu keluar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati dan bergerak ke arah mangsa selepas mendengar bunyi “rem” ekzos, sekali gus menunjukkan tertuduh sedar bahawa kejadian berlaku pada waktu tamat sesi persekolahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 dan 27 Mac ini untuk sambung hujahan pembelaan, sebelum memutuskan sama ada Mohd Nazri, 45, dibebaskan daripada pertuduhan atau diperintahkan membela diri.

Pendakwaan dikendalikan Afzainizam bersama Nasrul Hadi Abdul Ghani, manakala lelaki itu diwakili peguam M. Athimulan, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman.

Mohd Nazri didakwa menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi berhampiran SMK Jati di Ipoh antara 11.55 pagi hingga 12.32 tengah hari pada 15 Dis 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun serta jika tidak dihukum mati, hendaklah disebat tidak kurang daripada 12 sebatan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS