Rang Undang-Undang Pengilhakan dan Kenegaraan Greenland yang dikemukakan kepada Kongres Amerika Syarikat (AS) merupakan inisiatif pertama AS untuk mengilhak wilayah asing dalam tempoh 128 tahun, lapor RIA Novosti pada Rabu.

Pada Isnin, Ahli Kongres Republikan Randy Fine memperkenalkan rang undang-undang yang akan membenarkan Presiden AS Donald Trump mengambil semua tindakan yang diperlukan untuk mengilhak atau memperoleh Greenland atas alasan kepentingan keselamatan negara. Senator Demokrat percaya bahawa pengilhakan pulau itu oleh Washington akan membawa kepada pembubaran NATO dan mencetuskan peperangan dengan Eropah.

Kali terakhir AS menggunakan mekanisme pengilhakan secara langsung melalui akta perundangan ialah pada 1898, apabila Kepulauan Hawaii menjadi sebahagian daripada negara itu walaupun mendapat bantahan daripada penduduk asal. Sebelum itu, Texas turut diserap ke dalam AS dengan cara yang sama pada 1845.

Semua pemerolehan wilayah oleh Washington pada abad ke-20 dimuktamadkan melalui prosedur perundangan lain, seperti pembelian, pemindahan secara sukarela atau mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Wilayah besar terakhir yang berada di bawah pentadbiran AS ialah Kepulauan Mariana Utara, Caroline and Marshall pada 1947, yang diberikan status sebagai wilayah amanah PBB.

Untuk berkuat kuasa, rang undang-undang yang dibentangkan oleh Fine itu mesti diluluskan oleh jawatankuasa hal ehwal luar, mendapat kelulusan melalui undian di Dewan Perwakilan dan Senat, serta ditandatangani menjadi undang-undang oleh presiden AS.

Trump berulang kali menyatakan yang Greenland seharusnya menjadi sebahagian daripada AS, dengan menyatakan kepentingan strategiknya terhadap keselamatan negara dan pertahanan “dunia bebas,” termasuk dari China dan Rusia. Pihak berkuasa Denmark dan Greenland memberi amaran kepada AS agar tidak merampas pulau itu, sambil menegaskan yang mereka mengharapkan penghormatan terhadap integriti wilayah bersama mereka.

Pulau itu merupakan tanah jajahan Denmark sehingga 1953. Ia kekal sebagai sebahagian daripada Kerajaan Denmark selepas memperoleh autonomi pada 2009, dengan keupayaan pentadbiran sendiri serta menentukan dasar domestiknya.

- Bernama-Sputnik/ Ria Novosti