Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh mendakwa tindakannya melepaskan jawatan sebagai exco kerajaan negeri Melaka mencetuskan kegelisahan dalam kalangan pihak tertentu.
Menurutnya, keputusan itu menyebabkan ada yang “takut” kerana menyedari dia kini mempunyai lebih banyak masa untuk bertindak terhadap mana-mana pihak yang didakwa menyentuh “garis merah” Umno.
“Bila saya letak jawatan exco ramai yang menggelupur. Sebab dia takut saya nak full time bantai dia lepas ni.
“Tapi saya nak bagi tahu, bila Akmal Saleh letak jawatan exco, Insya-Allah Akmal Saleh akan hasilkan lagi 300,000 Akmal Saleh untuk hentak diorang ni nanti,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada persidangan Pemuda Umno malam ini.

Walaupun Dr Akmal tidak menyebut secara langsung pihak yang dimaksudkan namun kenyataannya itu dipercayai merujuk kepada pemimpin DAP.
Terdahulu hari ini, Dr Akmal mengumumkan peletakan jawatannya sebagai exco kerajaan negeri Melaka bagi membolehkan dirinya “menentang DAP habis-habisan”.
Dia memaklumkan perkara itu ketika berucap pada Perhimpunan Pemuda Umno, dengan menyatakan peletakan jawatan berkenaan melibatkan portfolio exco kemajuan desa dan keterjaminan makanan negeri.
Menurutnya, peletakan jawatan tersebut akan berkuat kuasa pada minggu depan.
Anwar, Najib hasil ‘kilang’ Pemuda Umno
Pengumuman itu turut disaksikan Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh yang hadir sebagai pemerhati dalam persidangan berkenaan.
Dalam ucapannya, Dr Akmal turut menegaskan Pemuda Umno telah terbukti melahirkan pemimpin besar kepada negara.
Dia berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan bekas perdana menteri Najib Razak merupakan antara tokoh yang lahir daripada Pemuda Umno.
“Hari ini ada mantan ketua Pemuda Umno telah menjawat jawatan nombor satu (perdana menteri) iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Tahniah saya ucapkan kerana terbukti bahawa kilang Pemuda Umno adalah tempat melahirkan pemimpin yang hebat,” katanya.
Namun, Dr Akmal berkata dia berasa sedih kerana Najib selaku bekas ketua Pemuda Umno kini berada di sebalik tirai besi.
Katanya, Pemuda Umno tidak pernah melupakan jasa bekas pemimpinnya.
