Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nadia Kesuma disahkan meninggal dunia di Jeddah
Diterbitkan:  Jan 18, 2026 9:47 AM
Dikemaskini: 1:47 AM

Pelakon yang dilaporkan hilang di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah pada Khamis lepas, Nadia Kesuma, disahkan meninggal dunia akibat sakit jantung.

Perkara itu dimaklumkan suami pelakon terbabit Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah, melalui hantaran di Facebook pagi tadi.

Muhammad Kamarul, 57, memaklumkan Nadia meninggal dunia pada jam 8.07 pagi Khamis lalu, iaitu pada hari sama pelakon terbabit dilaporkan gagal dikesan.

“Assalamualaikum, dengan penuh kesedihan dan dukacita, saya ingin mengumumkan pemergian isteri tercinta saya, Nadiah Kesumawati, yang telah meninggal dunia dengan tenang di tanah para anbiya (Jeddah) pada 15 Jan 2026, jam 8.07 pagi.

“Semoga Allah mengurniakan keampunan kepada beliau,” katanya.

Sementara itu, dalam hantaran berasingan anak perempuan pelakon berkenaan memaklumkan berita mengenai pemergian ibunya disampaikan oleh agensi pelancongan pada 11 malam tadi.

“Arwah meninggal disebabkan sakit jantung dan kemudian dibawa ke hospital pada hari yang sama arwah tiba di lapangan terbang Jeddah dan tiada pihak yang memaklumkan kepada kami sekeluarga tentang keadaan arwah sehinggalah malam ini pada jam 11.10 malam, berita tersebut disampaikan oleh agensi pelancongan itu sendiri,” katanya.

Nadia Kesuma menyertai pakej Umrah-London-Paris sebuah agensi pelancongan bersama-sama 21 jemaah lain.

Pelakon itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 1.48 pagi Selasa lepas.

Sebelum ini, Presiden Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS) Anne Abdullah yang juga rakan baik Nadia Kesuma memaklumkan pelakon filem Kudeta itu gagal dikesan selepas tiba di Jeddah.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS