Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid perjelas kenyataan team A, team B dalam DAP
Diterbitkan:  Jan 18, 2026 4:31 PM
Dikemaskini: 8:31 AM

Pengerusi Barisan Nasional Ahmad Zahid Hamidi hari ini menjelaskan bahawa tidak wujud “Team A” atau “Team B” dalam DAP, sambil menegaskan kenyataannya sebelum ini tidak bertujuan menggambarkan perpecahan dalaman parti berkenaan.

Beliau berkata penjelasan itu merujuk respons Setiausaha Agung DAP Anthony Loke semasa Konvensyen Tahunan DAP Selangor 2026 di Klang hari ini, yang menafikan kewujudan dua kem dalam parti itu, dan beliau bersetuju dengan penjelasan berkenaan.

Ahmad Zahid berkata isu-isu yang dibangkitkan sebelum ini bukan pendirian atau keputusan rasmi DAP, sebaliknya pandangan segelintir pihak dalam parti itu terhadap kenyataan Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Ahmad Saleh.

“Maksud saya dalam ucapan penangguhan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 adalah untuk menjelaskan bahawa terdapat kenyataan bercanggah daripada segelintir kecil kepimpinan DAP terhadap perkara yang dibangkitkan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-72 Parti Progresif Penduduk, di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, Ahmad Zahid dalam ucapan penangguhan PAU 2025 dilaporkan mendakwa kenyataan bertentangan yang dikeluarkan daripada kepimpinan utama DAP datangnya daripada “Team B”.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata perkara berkenaan dimaklumkan sendiri kepadanya oleh Loke, namun ia tidak mencerminkan pendirian kepimpinan utama DAP, sebaliknya sekadar perbezaan pendapat kecil dalam parti.

Sehubungan dengan itu, beliau menegaskan kenyataan berkenaan hanyalah bersifat makluman dan bukan pengesahan kewujudan mana-mana kem dalam DAP.

“Jika kenyataan itu menyinggung perasaan pihak DAP, saya menarik balik sebutan tersebut.

“Ia sama sekali tidak bertujuan menggambarkan bahawa terdapat dua kem dalam parti berkenaan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan agar pandangan daripada kumpulan yang berbeza pendapat tidak dijadikan pendirian rasmi parti, khususnya apabila ia bukan keputusan muktamad atau dasar parti.

Terdahulu, Loke ketika merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Selangor 2026 menafikan dakwaan bahawa beliau memaklumkan kewujudan “Team B” dalam DAP yang didakwa mengeluarkan kenyataan bertentangan dengan kepimpinan utama parti.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS