Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Adun Duyong minta MP DAP 'bisik' PM bantu naik taraf Masjid Hang Tuah
Diterbitkan:  Jan 19, 2026 9:06 AM
Dikemaskini: 1:35 AM

Berdepan dengan kesukaran walaupun melibatkan kebajikan masyarakat setempat, Adun Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem, memilih cara lain pula untuk membolehkan rancangannya menjadi kenyataan.

Dia memilih untuk menyampaikan pesanan terus kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, melalui Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong.

Menjelaskan hal itu melalui media sosialnya hari ini, Mohd Noor Helmy berkata, dia sudah mengikut semua prosedur yang sepatutnya agar pelan pembangunan menaik taraf Masjid Laksamana Hang Tuah boleh dibuat.

Katanya, dia membuat permohonan kepada Anwar agar diberikan peruntukan sebanyak RM1.5 juta agar pelan berkenaan terlaksana, justeru dia berharap Khoo – yang dijangkanya berjumpa dengan perdana menteri hari ini – menyampaikan pesanan berkenaan.

“Saya dah ikut semua proses yang betul dan patuh tatakelola. Macam-macam figura yang pegang kuasa saya dah jumpa untuk minta tolong.

“Khabarnya paper tu dah sampai atas meja PMX (Anwar) baru-baru ini,” katanya.

Perkembangan itu berlaku ketika sesetengah pihak berpendapat hubungan antara parti dalam kerajaan perpaduan semakin tegang dengan Umno dan DAP nampak paling ketara pertembungannya.

Masjid Laksamana Hang Tuah

Mohd Noor Helmy merupakan wakil rakyat yang mewakili Umno manakala Khoo dari DAP. Untuk rekod DUN Duyong adalah satu daripada lima DUN yang berada di bawah kawasan parlimen Kota Melaka.

Kata Mohd Noor Helmy, dia meminta Khoo tolong pujuk Anwar agar meluluskan permohonan peruntukan bagi menaik taraf masjid berkenaan.

“Lepas tu bawa sekali PMX jenjalan (jalan-jalan) ke Duyong makan kuih cakau ayam dak Ojan Perigi Hang Tuah.

“YB Khoo kata, OK - nanti esok dia bisik,” katanya, mungkin merujuk kepada mesyuarat pertama penggal kelima sidang parlimen yang bermula hari ini.

Sidang itu akan berlanjutan sehingga 3 Mac depan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS