Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ujian darjah empat bermula tahun ini, ujian tingkatan 3 pada 2027

Perdana Menteri hari ini mengumumkan pelaksanaan ujian matriks pembelajaran melibatkan penilaian bagi pelajar darjah empat bermula tahun ini.

Menurut Anwar Ibrahim ujian itu melibatkan empat subjek iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

“Mulai tahun ini ujian penilaian darjah empat dilaksanakan yang akan dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia,” katanya ketika menyampaikan ucapan peluncuran Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) dan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 di Putrajaya, hari ini.

Anwar berkata, ujian penilaian darjah empat itu dilaksanakan bagi memberi ruang kepada pelajar memperbaiki diri pada darjah lima dan enam sebelum melangkah ke sekolah menengah.

“Maknanya kita buat penilaian dan kita mahu darjah lima darjah enam kita perbaiki dan letakkan anak-anak supaya diberikan ruang memperbaiki (diri) dalam tempoh dua tahun sebelum masuk ke tingkatan satu,” tambahnya.

Dia turut mengumumkan Pengukuran Pembelajaran Tingkatan Tiga bagi lima mata pelajaran utama iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah akan bermula pada 2027.

"Kedua-dua pengukuran ini akan ditadbir oleh Lembaga Peperiksaan secara berpusat.

"Nama lain bagi pengukuran ini adalah Matriks Pembelajaran Malaysia," katanya.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menjelaskan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tidak akan dilaksanakan semula selepas dihapuskan sejak 2021 dan 2022.

Ini kerana jelasnya, tumpuan diberikan terhadap pentaksiran secara holistik dan tidak menilai aspek peperiksaan sahaja.

“Ia ada satu yang besar dalam kalangan masyarakat, yang hari-hari polemiknya bila hendak kembali, bila hendak kembali, bila hendak kembali.

Fadhlina Sidek

“Tidak boleh kita pergi ke belakang, melihat ini, kita mesti ke depan. Dan bila ke hadapan itu, soalnya bukan lagi UPSR (atau) PT3, bukan lagi. Ia dah tak sesuai dengan zaman anak-anak kita,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS