Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Disuruh 'move on', Saifuddin tak sedar bahaya ultra kiasu - Pemuda PAS
Diterbitkan:  Jan 20, 2026 2:59 PM
Dikemaskini: 6:59 AM

Pemuda PAS mempersoalkan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail yang meminta orang ramai melupakan isu yang ditimbulkan bekas wartawan, Rex Tan.

Dalam satu kenyataan, Timbalan Ketua Pemuda PAS, Mohd Hafez Sabri berkata, Saifuddin gagal menyedari bahaya ideologi “ultra-kiasu bersifat cauvinis” yang dibawa DAP.

Dia berkata doktrinasi berkenaan telah lama meresap dalam pemikiran sebahagian masyarakat Cina, dan persoalan yang dibangkitkan Rex Tan baru-baru ini hanya mendedahkan hakikat tersebut.

"Perlu ditegaskan, ini bukan isu Melayu lawan Cina.

"Ini ialah isu ultra-kiasu yang bersifat cauvinis dan tidak tahu bersyukur, yang mencabar keharmonian serta asas perpaduan negara.

"Namun amat mendukacitakan apabila bahaya ini belum disedari oleh Menteri Dalam Negeri. Semudah itu sahaja rakyat Malaysia diminta "move-on".

"Tiada kenyataan tegas ditujukan kepada kelompok yang membawa pemikiran berbahaya ini.

"Tiada penerangan berfakta dan penegasan jelas untuk membendung ideologi yang mencabar prinsip 3R yang sering dilaungkan oleh kerajaan Madani.

"Sebaliknya, rakyat yang cintakan Negara ini pula disuruh untuk “move on”. Allahu rabbi," katanya.

Pada 18 Jan lalu, Saifuddin mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan sebarang ugutan di laman sosial terhadap ahli keluarga bekas wartawan Free Malaysia Today (FMT) berkenaan.

Saifuddin berkata tindakan itu disifatkan tidak wajar dan melampaui batas.

Dia berkata, proses undang-undang sedang berjalan dan orang ramai jangan berlebih-lebihan kerana ia tidak membantu mana-mana pihak.

"Kita beri ingatan pada orang ramai supaya tidak berlebih-lebihan apalagi menggunakan platform media sosial untuk menyampaikan ugutan dan sebagainya.

"Kita mesti 'move on' daripada peristiwa yang berlaku, itu harapan kita semua.

"Sebab melontarkan kata-kata ugutan tidak menguntungkan sesiapa, sebaliknya mengeruhkan lagi keadaan," katanya kepada pemberita.

Mengulas lanujut Mohd Hafez berkata tiada mana-mana pihak menafikan keperluan mengingatkan orang ramai agar tidak melampaui batas, apatah lagi melibatkan tekanan terhadap keluarga Rex Tan.

"Namun, penegasan yang sama juga wajib dihalakan kepada kelompok yang mengangkat dan menyuburkan ideologi berbahaya ini, lebih-lebih lagi apabila ia jelas menyentuh dan melanggar prinsip 3R.

"Tetapi malangnya, itu tidak berlaku. Menteri cap apakah ini?"soalnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS