Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bapa Altantuya mahu bekas anggota polis dedah siapa arahkan pembunuhan
Diterbitkan:  Jan 20, 2026 6:40 PM
Dikemaskini: 10:40 AM

Bapa kepada Altantuya Shaariibuu, Setev Shaariibuu, mahu mendengar sendiri daripada bekas anggota polis Azilah Hadri mengenai siapa yang mengarahkan pembunuhan anak perempuannya pada 2006.

“Saya mahu dengar daripada Azilah… Apabila kebenaran itu ditetapkan, maka tiada pilihan lain selain satu permohonan maaf perlu diperintahkan, dan saya berharap mendapat jawapan kepada perkara itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Warganegara Mongolia itu berkata demikian selepas Mahkamah Rayuan melepaskan sepenuhnya kerajaan daripada liabiliti berhubung kematian Altantuya. Mahkamah di Putrajaya itu turut mengurangkan ganti rugi yang sebelum ini diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi sebanyak RM5 juta kepada RM1.4 juta, yang perlu dibayar kepada keluarga si mati.

Mengulangi hasratnya untuk mendapatkan “permohonan maaf yang ikhlas”, Setev, yang akan merayu keputusan membebaskan kerajaan itu, menegaskan bahawa perjuangannya selama ini bukan berkenaan soal wang.

“Saya mencari keadilan sejak 20 tahun lalu. Saya hanya mahukan satu permohonan maaf yang ikhlas, satu perkataan sahaja.

“Saya berpegang kepada harapan bahawa suatu hari nanti, selepas 20 tahun, saya akan mendengar permohonan maaf mengakui perbuatan salah yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Setev menambah bahawa bukan rakyat Malaysia yang perlu memohon maaf, sebaliknya permohonan maaf rasmi perlu dikemukakan kepada kerajaan dan rakyat Mongolia.

Pagi ini, panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Besar Malaya Hashim Hamzah membenarkan rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2022.

Keputusan panel itu, yang dibacakan oleh hakim K Muniandy, mendapati tiada bukti bahawa Azilah dan seorang lagi bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar, bertindak atas arahan kerajaan dalam pembunuhan Altantuya.

“Pembunuhan adalah bertentangan sama sekali dengan kewajipan untuk melindungi nyawa dan mewujudkan keamanan.

“Ia adalah satu perbuatan yang terlalu jauh menyimpang daripada tugas yang dibenarkan kepada seorang pegawai polis sehingga memutuskan hubungan antara majikan dan pekerja,” kata Muniandy.

Altantuya dibunuh pada Oktober 2006, dan mayatnya diletupkan menggunakan bahan letupan gred tentera.

Azilah dan Sirul kemudiannya disabitkan kesalahan membunuh dan dijatuhi hukuman mati pada April 2009.

Ketika Azilah masih menjalani hukuman penjara, hukuman matinya telah diringankan kepada penjara 40 tahun dan 12 sebatan. Dalam afidavitnya, bekas anggota polis itu mendakwa dia menerima arahan daripada “pegawai kerajaan berpangkat tinggi” untuk “menghapuskan dan melupuskan” Altantuya.

Keluarga Altantuya kemudiannya memfailkan semakan kehakiman bagi memaksa pihak berkuasa melengkapkan siasatan terhadap afidavit Azilah itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS