MCA terima dan hormati peletakan jawatan Chua
MCA hari ini menerima dan menghormati keputusan Naib Presidennya Datuk Dr Chua Soi Lek bersara dari politik ekoran skandal seks yang membabitkan pemimpin veteran MCA itu, tetapi menafikan kontroversitu itu ada kaitan dengan perebutan kuasa dalam parti itu.
Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting mengumumkan keputusan parti itu dalam satu sidang akhbar di ibupejabat MCA di Jalan Ampang petang tadi selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar majlis presiden berhubung peletakan jawatan Dr Chua dalam kerajaan dan parti.
Majlis presiden, katanya, menerima dan menghormati keputusan Chua untuk bertanggungjawab terhadap apa yang telah berla
MCA hari ini menerima dan menghormati keputusan Naib Presidennya Datuk Dr Chua Soi Lek bersara dari politik ekoran skandal seks yang membabitkan pemimpin veteran MCA itu, tetapi menafikan kontroversitu itu ada kaitan dengan perebutan kuasa dalam parti itu.
Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting mengumumkan keputusan parti itu dalam satu sidang akhbar di ibupejabat MCA di Jalan Ampang petang tadi selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar majlis presiden berhubung peletakan jawatan Dr Chua dalam kerajaan dan parti.
Majlis presiden, katanya, menerima dan menghormati keputusan Chua untuk bertanggungjawab terhadap apa yang telah berlaku.
Ketika membaca kenyataan satu muka surat itu, Ong berkata, pihaknya memuji tindakan Chua itu yang mengutamakan kepentingan parti dan negara daripada kepentingan peribadinya.
Bagaimanapun, katanya, Chua tetap kekal sebagai ahli biasa MCA.
Ong berkata, parti itu mengutuk sekeras-kerasnya mereka yang bertanggungjawab merakam dan mengedarkan video seks tersebut yang menurutnya satu "pencerobohan peribadi seorang rakyat" dan menggesa pihak polis supaya mengambil tindakan terhadap pihak terbabit.
“Hati kami bersama beliau dan keluarga keluarga dalam mengharungi saat-saat yang sukar ini," tambahnya.
Serah senarai pada PM
Mengenai kekosongan jawatan menteri kesihatan, Ong berkata beliau telah menghubungi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan telah memberi senarai calon untuk dipilih bagi menggantikan Chua.
“Bagi pihak parti, saya telah memberi pandangan saya kepada perdana menteri, dan terpulang kepada budibicara perdana menteri dan kami menyerahkan kepada beliau untuk membuat keputusan muktamad," katanya.
Dipercayai salah seorang daripada tiga menteri MCA - Ong, Timbalannya, Datuk Chan Kong Choy atau Naib Presiden, Datuk Dr Fong Chan Onn - akan dilantik sebagai pemangku jawatan tersebut sehinggalah perdana menteri memilih calon menteri kesihatan yang baru.
Mengenai kekosongan jawatan naib presiden, Ong berkata, satu keputusan akan dibuat dalam mesyuarat jawatankuasa pusat parti itu pada 8 Januari depan.
Ong, yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, menafikan bahawa pendedahan video seks itu ada kaitan dengan pertelingkahan dalam parti.
“Ia tidak kaitan. Ramai orang luar yang suka untuk jia yan jia chu (memburukkan keadaan). Mereka akan kecewa, (kerana) kita akan berada dalam keadaan kukuh dan bersatu," katanya.
Ditanya sama ada wujud komplot untu menjatuhkan Chua, Ong menjawab: "Bila sesuatu berlaku, pelbagai spekulasi akan didengar. Apa yang penting hari ini ialah kita memandang serius dan akan membiarkan polis menjalankan tugas mereka. Apa yang peting ialah masa depan budaya parti dipertahankan."
Ong dan Chua - yang mempunyai sokongan yang kuat di Johor - dikatakan tidak sehaluan sejak tahun lalu, tetapi mereka sering menafikannya.
Menjawab sama ada beliau telah cuba memujuk Chua supaya tidak meletak jawatan, presiden MCA itu tidak menjawabnya secara langsung tetapi berkata ia adalah keputusan Chua sendiri.
Menurutnya lagi, parti itu tidak akan membawa perkara itu kepada jawatankuasa disiplin parti dan juga tiada rancangan untuk menjalan siasatan dalaman kerana polis telahpun memulakan siasatan.
Parti tetap kukuh
Ong berkata skandal seks itu tidak akan memberi kesan besar terhadap parti komponen BN kedua terbesar itu dalam pilihanraya umum akan datang serta imejnya dalam kerajaan.
“Dengan tindakan berani beliau itu, imej BN dan MCA tetap kukuh. Apa yang penting bagi kita ialah meneruskan khidmat kepada rakyat. Ini adalah masa untuk kita melangkah kehadapan," katanya.
Sebelum itu, Chua mengumumkan peletakan jawatannya dalam kerajaan dan semua jawatan dalam parti, berkuatkuasa serta merta.
Beliau juga meletak jawatan sebagai ahli Parlimen Labis di Johor.
Semalam, Chua mengaku beliau adalah individu dalam video seks yang menunjukkan seorang lelaki mengadakan hubungan seks dengan seorang wanita dalam sbuah bilik hotel.

