Sikap ibu bapa yang terlalu memikirkan stigma masyarakat sehingga memilih untuk menyembunyikan anak-anak terlibat dadah, menghalang usaha pemulihan yang dapat dilakukan lebih awal, sekali gus dikhuatiri memberikan kemudaratan kepada masa depan mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Pencegahan Jenayah dan Pemulihan Berkaitan Dadah, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Datuk Kamarudin Md Ali berkata masalah penagihan dadah tidak seharusnya disembunyikan kerana golongan terbabit memerlukan bimbingan dan sokongan untuk dipulihkan.
Beliau berkata ibu bapa seharusnya mengambil tindakan proaktif dan pantas dengan membawa anak mereka yang terlibat dengan penagihan dadah kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi mendapat bantuan dan pemulihan yang sewajarnya.
"Ibu bapa mesti tahu perubahan anak dari segi fizikal dan sebagainya, sama ada terlibat dengan penagihan atau tidak. Jangan malu, takut dengan stigma masyarakat anak terjebak penagihan," katanya ketika sesi temu bual di Bernama Mobile Studio tentang "Jerat Halusinasi: Antara Penjara dan Jalan Pemulihan" di Felda Bukit Waha, di Kota Tinggi baru-baru ini.
Kamarudin turut menekankan kepentingan peranan semua pihak dalam memberikan sokongan dan kekuatan, menerusi penglibatan menyeluruh termasuk ketua kampung, penghulu, pemimpin masyarakat, institusi masjid, kaunselor, jiran serta ahli keluarga terdekat.
Beliau berkata hal ini kerana usaha membantu golongan terlibat dengan penagihan dadah tidak seharusnya diletakkan kepada AADK dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama seluruh komuniti.
"Sekarang ini, 70 peratus daripada penghuni penjara, banduan ada kaitan dengan dadah. Jadi, kalau berterusan perkara ini tidak akan menyelesaikan masalah dadah di negara ini," katanya.
MCPF katanya, mempunyai cawangan di setiap daerah dan menyediakan khidmat nasihat bagi membantu mereka yang terlibat dalam penagihan dadah mendapat rawatan dan pemulihan yang sewajarnya.
“Kita bukan terus buat laporan kepada polis, langkah itu ialah pendekatan yang terakhir, tetapi sebagai (individu terlibat) penagihan, kita akan usaha bantu agar mereka dapat rawatan bersesuaian,” katanya.
Beliau berkata MCPF bersama-sama AADK juga sentiasa bekerjasama rapat bagi memberikan kesedaran kepada orang ramai menerusi pelbagai program termasuk Program FELDA: Desaku Mendunia “Generasi Sihat Komuniti Hebat” yang dianjurkan secara bersama.
Program seumpama itu katanya, bertujuan memberikan kesedaran, terutama di kawasan luar bandar selain memupuk gaya hidup sihat dan komuniti yang prihatin terhadap isu penagihan dadah.
- Bernama
