Sebanyak 36 pusat pengundian dengan 117 saluran dibuka serentak pada jam 7.30 pagi ini sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebanyak dua pusat mengundi ditutup pada jam 12 tengah hari, manakala 34 pusat mengundi lain ditutup secara berperingkat antara jam 1 tengah hari hingga 5.30 petang.
Menurut SPR, proses pengundian hari ini melibatkan 48,282 pengundi yang akan menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih wakil rakyat baru untuk kawasasan Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag.
Penjumlahan rasmi undi pula akan berlangsung di Dewan Sri Lamag sebelum keputusan rasmi dijangka diumumkan pada jam 10 malam.
Proses pengundian dikendalikan 1,106 petugas SPR bersama 926 pegawai dan anggota polis yang ditugaskan pada hari mengundi.
Pada Selasa lalu SPR memaklumkan 93 peratus atau 176 anggota polis telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal bagi kedua-dua PRK berkenaan yang berlangsung di Teratak Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan.
PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan saingan tiga penjuru di antara Mohd Kurniawan Naim Moktar yang mewakili BN, Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (bebas), manakala di DUN Lamag berlangsung pertandingan satu lawan satu di antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).
Semua lima calon akan mengundi pada PRK berkenaan dengan Mohd Kurniawan Naim di SK Bilit, Saddi di SK Batu Puteh, Goldam di SK Pekan Tongod, Mohd Ismail di SK Bukit Garam II, dan Mazliwati di SK Buang Sayang.
PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.
Dalam PRU ke-15 lalu Bung Moktar mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan selepas memperoleh majoriti 4,330 undi dengan menewaskan pencabarnya Mazliwati.
Bung Moktar turut melakar kemenangan dalam saingan lima penjuru di DUN Lamag dalam PRN Sabah yang berlangsung pada 29 Nov lalu dengan memperoleh majoriti 153 undi.
- Bernama
