Enam belas orang, termasuk beberapa ahli politik, akan dipanggil sebagai saksi oleh suruhanjaya diraja yang menyiasat dakwaan yang dibangkitkan dalam klip video Lingam.

Pengerusi suruhanjaya tersebut, Tan Sri Haidar Mohamed Noor bagaimanapun enggan memberitahu nama saksi-saksi tersebut.

Siasatan suruhanjaya tersebut akan berjalan selama dua minggu mulai 14 Januari ini.

Menurut laporan Bernama hari ini, senarai 16 saksi tersebut telah disediakan oleh Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan di Pejabat Peguam Negara, Nordin Hassan dan Azmi Ariffin.

Haidar berkata, senarai saksi tersebut telah dibincangkan dalam mesyuarat enam anggota suruhanjaya tersebut, selama dua jam di Kompleks Mahkamah Jalan Duta hari ini.

Anggota lain suruhanjaya tersebut ialah bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong, bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar, bekas Peguam Cara Negara Datuk Zaitun Zawiyah Puteh dan Pesuruhjaya Suhakam Profesor Datuk Dr Khoo Kay Khim.

Hadir sama di sidang akhbar tersebut bersama Haidar ialah Ketua Pengarah Bahagian Perundingan di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdullah Sani, yang dilantik sebagai setiausaha suruhanjaya tersebut. Turut hadir ialah Nordin dan Azmi.

Suruhanjaya diraja itu ditubuhkan selepas tercetusnya kontroversi mengenai klip video yang menunjukkan perbualan telefon peguam kanan Datuk K Lingam dengan seorang individu, membincangkan mengenai pelantikan hakim-hakim.

Lingam didakwa berbual dengan Ketua Hakim Negara yang telah bersara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim. Klip video tersebut dipercayai dirakam pada tahun 2002.

Waran tangkap

Bidangkuasa suruhanjaya tersebut ialah untuk menyiasat dan menentukan kesahihan klip video tersebut, identiti orang yang di dalam klip video itu, dan dengan siapa dia berbual dan mereka yang disebut dalam perbualan tersebut.

Siasatan itu juga bertujuan untuk menentukan kebenaran kandungan perbualan dalam klip video itu, sama ada terdapat salahlaku oleh orang dan orang-orang yang dikenalpasti atau disebut dalam klip video tersebut, dan membuat perakuan yang sesuai mengenai tindakan yang wajar diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab.

Dalam sidang akhbar hari ini, Haidar juga berkata semua mereka yang disebut dalam klip video itu atau semua saksi yang disenaraikan itu, akan dipanggilmemberi keterangan.

Katanya, empat orang saksi dipanggil memberi keterangan setiap hari, bergantung kepada panjang mana keterangan mereka.

Tambahnya, siasatan suruhanjaya tersebut mungkin dapat disiapkan lebih awal daripada yang dijadualkan.

Haidar berkata, suruhanjaya itu akan mensapina para saksi dan ia mempunyai kuasa perundangan untuk mengeluarkan waran tangkap jika mereka gagal hadir tanpa penjelasan sewajarnya, seperti atas alasan kesihatan.

Mengenai permohonan Majlis Peguam untuk menyertai siasatan tersebut, Haidar berkata, commission itu boleh membenarkan majlis tersebut membantunya di mana perlu. berita asal