Proses pembunuhan karektor ke atas beberapa VVIP politik Barisan Nasional (BN), termasuk Umno, menerusi penyebaran DVD atau buku yang dipercayai mengandungi babak-babak skandal, termasuk skandal seks, dijangka merebak ke Pahang dalam tempoh terdekat ini, demikian menurut seorang bekas ahli Parlimen.

Dalam blognya - Puteramalaysia - Datuk Ruhanie Ahmad yang juga seorang wartawan berpengalaman, menulis bahawa sumber-sumber memberitahunya bahawa serangan di Pahang dijangka tertumpu kepada dua kawasan Parlimen tertentu.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan nama dua kawasan berkenaan.

Motifnya, tambah bekas setiausaha akhbar Tun Musa Hitam itu, dipercayai adalah untuk menyingkirkan mangsa sasaran skandal itu daripada arus perdana politik Malaysia.

"Sumber-sumber yang sama juga menegaskan bahawa proses pembunuhan karektor ini dipercayai sebahagian daripada agenda konspirasi yang dipelopori sejak dua tahun lalu oleh sesetengah pihak yang mendakwa rapat dengan seorang pembesar tertentu," tulis Ruhanie dalam blognya itu.

Menurutnya, usaha ke arah semakin ketara memandangkan pilihanraya umum ke-12 dijangka diadakan pada tempoh suku pertama tahun 2008.

Konspirasi politik

"Persoalannya pada hari ini ialah siapakah di sebalik konspirasi berkenaan? Benarkah konspirasi itu dikatakan direstui oleh seorang pembesar tertentu?

"Dan, apakah peluang BN jadi bertambah cerah jika beberapa tokoh VVIPnya “dibunuh” menerusi konspirasi berkenaan?

"Pada waktu yang sama, adakah apa yang terjadi ke atas menteri MCA yang hari ini meletakkan jawatannya dalam kabinet, sebagai ahli Parlimen, dan keseluruhan jawatan dalam MCA pusat, negeri dan bahagian, adalah sebahagian daripada konspirasi tersebut?" soalnya lagi.

Ruhanie merujuk kepada skandal Datuk Dr Chua Soi Lek yang mengundurkan diri daripada politik selepas sebuah DVD yang mengandungi adegan seks membabitkan dirinya dengan seorang wanita telah disebarkan di Batu Pahat dan Muar sempena tahun baru 2008.

"Beberapa sumber memberitahu blog ini bahawa penyebaran DVD itu dipercayai dilakukan oleh seorang individu berpengaruh yang baru-baru ini dikatakan telah dikecewakan oleh keputusan menteri berkenaan yang enggan menyokong satu cadangan perniagaan berkaitan kesihatan di kawasan WPI," tulisnya.

Bagaimanapun, katanya, beberapa sumber lain pula memberitahu blog ini bahawa apa yang terjadi ke atas menteri MCA itu adalah sebahagian daripada percaturan politik yang besar di dalam parti tersebut.

'Umpama ketam ajar anak'

Sementara itu, Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang mempersoalkan sama ada Datuk Seri Najib Tun Razak 'orang yang sesuai' untuk menasihatkan pemimpin BN yang lain supaya mengamalkan nilai-nilai yang baik, berdisiplin tinggi dan menjaga tingkahlaku mereka.

Timbalan Perdana Menteri dilaporkan hari ini sebagai mengingatkan semua pemimpin BN supaya mengelak pihak tertentu mengambil kesempatan untuk mencemarkan imej mereka dan kerajaan, terutama menjelang pilihanraya umum akan datang.

Najib menegaskan demikian ketika diminta mengulas tindakan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Chua Soi Lek melepaskan semua jawatannya dalam kerajaan dan MCA selepas mengaku terbabit dalam rakaman DVD aksi seks dengan seorang wanita.

"Apakah Najib telah memberi contoh yang baik dalam karier politiknya untuk melayakkan beliau memberi nasihat dan ingatan seumpama itu?

"Atau nasihat beliau itu umpama bapa ketam mengajar anaknya berjalan dengan betul?" soal Lim lagi.