Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching tampil mempertahankan pendiriannya yang konsisten memperjuangkan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), sambil menolak dakwaan dia bercakap berbeza kepada komuniti berlainan atau bertindak sebagai “provokator” dalam isu tersebut.
Teo pada hantarannya di media sosial memberi maklum balas terhadap bekas pengerusi pasukan petugas UEC, Eddin Khoo, yang melontarkan kritikan keras terhadapnya dalam satu rancangan podcast minggu lalu, dengan menuduh naib pengerusi DAP itu sengaja mempolitikkan isu UEC demi keuntungan sempit.
Budayawan dan penulis itu, yang mengetuai pasukan petugas berkenaan dari 2018 hingga 2020, melabel Teo sebagai “eksploitatif, manipulatif dan bersifat perkauman (racialist)”, serta menuduh dia bertindak sebagai provokator sepanjang tempoh jawatankuasa tersebut berfungsi.
Khoo turut berkata Teo sepatutnya “telah dibuang ke suatu tempat” serta mendakwa pemimpin DAP itu “tidak mempunyai apa-apa untuk ditawarkan kepada sesiapa”.

Dia juga menuduh Teo kerap menggunakan bahasa 'bercabang' ketika memegang jawatan sebagai timbalan menteri pendidikan, dengan memberi kenyataan berbeza kepada media Cina dan bukan Cina berhubung isu UEC.
Dalam kenyataannya, Teo bagaimanapun mengakui kegagalan mencapai pengiktirafan UEC semasa pentadbiran Pakatan Harapan dari 2018 hingga 2020 sebagai salah satu penyesalan peribadinya, dengan menyatakan terdapat kekangan di luar kawalannya.
Dia menegaskan tidak pernah menafikan kelemahan yang wujud dalam usaha mengiktiraf UEC dan pernah memohon maaf kepada penyokong dalam satu kuliah dalam talian pada 2020 berhubung janji gabungan itu untuk mengiktiraf UEC “dalam tempoh setahun”.
Namun, Teo dengan tegas menyangkal dakwaan Khoo bahawa dia membentangkan isu itu secara berbeza kepada media Cina dan bukan Cina.

“Saya perlu tekankan di sini bahawa saya tidak pernah mengelak atau menafikan kelemahan ini.
"Apa yang saya tolak adalah tuduhan bahawa saya ‘bercakap berbeza kepada komuniti berbeza’ atau bahawa saya seorang provokator dalam isu UEC.
“Pendekatan saya konsisten tanpa mengira khalayak. Saya tidak pernah menyembunyikan sokongan saya terhadap pengiktirafan UEC dan saya juga tidak pernah menyesuaikan prinsip saya mengikut suasana.
"Oleh itu, sebarang cadangan bahawa saya tidak berminat mencari penyelesaian terhadap UEC adalah tidak berasas,” katanya pada hantaran di Facebook semalam.

Teo yang juga pemegang sijil UEC, berkata pendiriannya sejak awal tidak pernah berubah, bahawa pengiktirafan UEC membawa kebaikan kepada Malaysia.
“Dan izinkan saya jelaskan satu perkara lagi: saya tidak rasa bersalah kerana bertegas mengenai pengiktirafan UEC.
"Saya percaya ia adalah hala tuju dasar yang betul untuk Malaysia dan saya berpegang pada keyakinan itu. Perbincangan mengenai pengiktirafan UEC mesti berasaskan fakta, bukan sindiran,” tambahnya.
Dalam rancangan podcast Let’s Get It pada Jumaat lalu, Khoo berkata sepanjang tempohnya sebagai pengerusi, pasukan petugas itu secara konsisten berinteraksi dengan apa yang disifatkannya sebagai kumpulan Melayu dan Cina “ekstrem”, merujuk kepada Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan Dong Zong.

Bagaimanapun, katanya, walaupun perbincangan berjalan lancar, dia amat kecewa dengan pihak yang mencetuskan ketegangan, yang menurutnya kebanyakannya terdiri daripada ahli politik.
Dia turut menuduh ahli politik seperti Teo tidak benar-benar mahukan penyelesaian, sebaliknya lebih gemar kekal sebagai “juara perkauman” daripada menyelesaikan isu berlarutan itu.
Ketika dihubungi Malaysiakini untuk penjelasan mengenai tindakan Teo sepanjang tempoh Khoo berkhidmat dalam kerajaan PH, budayawan itu mempertahankan kritikannya dengan mendakwa Teo pernah menyatakan bahawa jawatankuasa itu tidak mempercepatkan kerja mereka, sedangkan sebenarnya kemajuan besar telah dicapai.
“Terdapat sekurang-kurangnya satu atau dua kejadian apabila dia membuat kenyataan kepada media Cina mengenai tingkah laku jawatankuasa yang langsung tidak adil dan tidak wajar. Saya ada senarai penuh perbualan dan laporan tersebut.
“Pada asasnya dia mempersoalkan mengapa kami tidak menjalankan tugas, sedangkan itu sama sekali tidak benar kerana kami menjalankan tugas dengan pendekatan tertentu.

"Seperti yang saya sebut berkali-kali, termasuk kepadanya, ketika dia masih timbalan menteri pendidikan,” katanya, sambil menambah bahawa ahli jawatankuasa turut bertemu ramai pihak berkepentingan sepanjang kajian dijalankan.
Bagi mempertahankan usaha di bawah kepimpinannya, Khoo berkata jawatankuasa itu juga menganjurkan sesi dialog awam yang menghimpunkan pihak-pihak dengan pandangan bertentangan untuk berbincang.
“Jadi jika terdapat kelewatan dalam laporan akhir, ia berpunca daripada penglibatan berterusan kami dengan orang ramai. Ia bukan sesuatu yang dia tidak tahu.
"Saya fikir sebagai timbalan menteri pendidikan yang memilih untuk tidak mempolitikkan isu ini – itulah yang dikatakan – tetapi apabila memilih untuk bercakap dengan media vernakular tanpa membuat kenyataan umum untuk semua, bukankah itu bersifat memecah-belahkan,” soalnya.

Khoo berkata pandangan itu turut disampaikan kepada Teo dalam dua pertemuan kira-kira tiga tahun lalu.
“Dia mendakwa jawatankuasa tidak mempercepatkan kerja dan dalam satu artikel Nanyang, mendakwa jika kami tidak mampu menyiapkan kerja, dia boleh menyiapkannya untuk kami… artikel itu perlu disahkan. Ia sudah lama,” katanya, sambil menambah kritikan itu dibuat selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada 2020, yang turut menyaksikan Teo kehilangan jawatan.
Khoo berkata ketika kenyataan tersebut dibuat, ahli jawatankuasa sebenarnya telah pun menyiapkan kerja mereka.
Apabila ditanya jika Teo pernah terlibat secara langsung dengan jawatankuasa itu dan sama ada terdapat mesyuarat antara dia dan jawatankuasa UEC itu atau tidak, Khoo menjawab dia hanya kerap bertemu dengan menteri pendidikan ketika itu, Maszlee Malik, yang menjadi pihak atasan dia.
‘Tiada siapa minta laporan diserahkan’
Mengulas mengenai laporan dapatan UEC tidak pernah diserahkan, Khoo berkata perkara itu berlaku kerana “tiada siapa meminta laporan tersebut diserahkan”.
“Jadi anda tidak boleh jangka saya berdiri seperti keldai di Kementerian Pendidikan, menunggu untuk menyerahkan laporan. Sebuah jawatankuasa adalah perkara yang serius, ia perlu dilayan dengan bermaruah dan dihormati.
"Saya tidak akan merayu orang untuk menerima laporan jika mereka tidak mahu,” katanya.
Dia mendakwa sehingga kini tiada pihak yang mengambil inisiatif meminta laporan itu.
Khoo turut mengkritik Radzi Jidin, yang dilantik sebagai menteri pendidikan selepas kerajaan Perikatan Nasional mengambil alih dan melabelkannya sebagai menteri “lemah”.

“Radzi Jidin juga, yang saya sifatkan sebagai menteri lemah dalam podcast itu, bercakap mengenai laporan yang tidak pernah diserahkan. Tetapi untuk laporan diserahkan, anda perlu panggil saya, berbincang dengan saya, bercakap dengan jawatankuasa.
“Apa yang anda jangka saya buat? Pergi masukkan laporan itu dalam sampul coklat dan letakkan di kaunter penerimaan kementerian pendidikan,” soalnya.
Bagaimanapun, Khoo enggan mendedahkan cadangan yang terkandung dalam laporan dapatan tersebut.
“Itu hanya boleh didedahkan apabila laporan itu diserahkan secara rasmi, walaupun saya telah menyatakan pandangan peribadi saya,” katanya.

Sementara itu, Maszlee memilih untuk tidak terlibat dalam kontroversi berkenaan dan meminta Malaysiakini merujuk soalan kepada Khoo.
Selama beberapa dekad, isu berkaitan UEC sering mencetuskan ketegangan berulang di Malaysia, dengan pertikaian lazimnya tertumpu kepada keperluan bahasa, representasi budaya dan tafsiran berbeza mengenai perpaduan nasional.
Kontroversi itu kembali memuncak susulan komen di media sosial apabila Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming mengumumkan hasrat partinya untuk bertemu Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan melobi pengiktirafan rasmi sijil berkenaan.
Pada 12 Dis, Anwar ketika mengulas isu pengiktirafan UEC, mengingatkan semua pihak bahawa sebarang tuntutan yang menyentuh sensitiviti agama, kaum atau etnik perlu mengambil kira kedudukan bahasa kebangsaan mengikut perlembagaan.
Pada 24 Jan, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan Kementerian Pendidikan Malaysia akan meminda dasar bagi membenarkan pelajar sekolah bukan kerajaan menduduki hanya kertas Bahasa Malaysia dan Sejarah untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Dia berkata mereka yang memperoleh kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia dan lulus Sejarah akan layak memohon kemasukan ke universiti awam.
Pindaan itu akan membolehkan pelajar sekolah persendirian Cina, antara lain, menduduki dua mata pelajaran tersebut dan mana-mana pelajar yang memenuhi syarat berkenaan layak memohon pengajian ke universiti awam.
Langkah itu menyusuli pengumuman Anwar pada pelancaran Pelan Pendidikan Negara 2026–2035 bahawa semua sekolah, termasuk sekolah persendirian, Islam dan antarabangsa, diwajibkan mengajar Bahasa Malaysia dan Sejarah peringkat SPM berdasarkan kurikulum kebangsaan.
