Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Dr Chua Soi Lek menuduh musuh politiknya mahu melihat beliau "musnah sepenuhnya" walaupun beliau telah melepaskan semua jawatannya selepas mengaku terbabit dalam skandal seks.

Chua melepaskan semua jawatan kerajaan dan parti Rabu lalu selepas pendedahan video yang menunjukkan beliau mengadakan hubungan seks dengan seorang wanita di sebuah bilik hotel.

Sebelum meletakkan jawatan, beliau adalah Naib Presiden MCA, ahli Parlimen Labis, Ketua MCA Johor dan bahagian Batu Pahat. Chua, 61, yang telah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak, menyifatkan wanita tersebut sebagai 'rakan peribadinya'.

Beliau bagaimanapan enggan mengulas lanjut tentang kenyatannya hari ini.

“Saya tidak akan menemui pihak media hari ini, biarkan semua sejuk dahulu. Saya telah ditemubual oleh terlalu banyak media akhir-akhir ini dan mereka (musuhnya) berkata saya terus bercakap dengan media seolah-olah saya rasa megah," kata Chua ketika dihubungi malaysiakini hari ini.

Bekas menteri kesihatan itu, yang tiba di kementerian tersebut pagi ini untuk kali terakhir bagi mengambil barang-barangnya, mengecewakan pihak media kerana beliau tidak menemui mereka.

Chua mengelak bertemu dengan para wartawan yang menunggu di lobi kementerian tersebut, dengan menggunakan laluan untuk kakitangan yang membawanya terus ke pejabatnya yang terletak di tingkat 13 bangunan tersebut.

Pihak media hanya menyedari kehadirannya di bangunan tersebut pada kira-kira jam 12 tengahari apabila seorang wartawan agensi berita Bloomberg memberitahu yang beliau baru sahaja menemubual Chua.

Setengah jam kemudiannya, seorang pembantu Chua - Ngoo Yee Jin (kiri) turun ke lobi untuk memaklumkan pada wartawan yang bekas menteri itu tidak akan menemui pihak media hari ini.

“Beliau perlu menemui ramai pegawai dan banyak perkara yang perlu dilakukan. Hari ini adalah hari terakhir beliau datang ke pejabat ini," jelasnya.

Sebelum ini, Chua bersedia menemui dan menjawab soalan para wartawan secara panjang lebar dalam masa tiga hari lalu sejak beliau mengakui lelaki dalam video seks tersebut.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dan Setiausaha Parlimennya, Datuk Lee Kah Choon turut menemui Chua pagi ini.

Ketika ditemui, Abdul Latiff berkata, beliau sedih dengan pemergian Chua dan dan berkata ahli politik dari Johor itu adalah seorang 'ketua yang baik'.

“(Tetapi) tiada siapapun yang kekal dan tugas mesti diteruskan," kata timbalan menteri itu.

Ditanya sama ada pihak kementerian akan mengadakan majlis perpisahan untuk Chua, Abdul Latiff (kanan) berkata, beliau menyerahkannya kepada menteri yang baru.

Tengahari tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah melantik Presiden MCA yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting sebagai pemangku Menteri Kesihatan.