Polis telah mendapat perintah tahanan reman selama empat hari terhadap seorang wanita kerana dipercayai terlibat dalam pengedaran DVD dan VCD adegan seks bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Ketua Polis Johor DCP Datuk Hussin Ismail berkata wanita berusia 29 tahun itu, seorang pengusaha kedai salon kecantikan, telah ditahan di kedainya di Taman Bukit Perdana, Batu Pahat pada jam 2.30 petang semalam.

Beliau berkata polis mendapat perintah Mahkamah Majistret Batu Pahat untuk menahan reman wanita tersebut di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

"Pihak polis telah merampas satu keping DVD dan tiga keping VCD dan sebuah komputer riba dari kereta dan kedai salon wanita tersebut," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis perasmian pemakaian pangkat 73 anggota berpangkat rendah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini.

Menurut laporan Bernama, Hussin berkata wanita tersebut bukan wanita yang dikatakan terbabit dengan aksi seks dengan bekas naib presiden MCA itu seperti yang dirakamkan dalam DVD dan VCD yang diedar secara meluas di Johor.

Dengan bantuan anggota dari Bukit Aman, beliau berkata polis negeri ini sedang menyiasat pihak yang terbabit dalam pencetakan dan pengedaran DVD dan VCD tersebut.

Beliau juga mengesahkan bahawa polis telah mengambil keterangan daripada Dr Chua semalam dan bagaimanapun ketua polis itu enggan mengulas lanjut.

"Kita masih lagi menyiasat kes ini," katanya.

Hussin juga enggan mengulas mengenai kemungkinan pembabitan pekerja hotel dalam merakam adegan tersebut dan meminta media agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes tersebut.

Ketua Polis itu juga meminta orang ramai yang memiliki DVD atau VCD tersebut agar menyerahkannya kepada polis atau memusnahkannya.

Rabu lalu, Dr Chua mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Kesihatan dan semua jawatannya dalam parti MCA setelah mengakui bahawa beliau adalah lelaki dalam aksi seks rakaman DVD atau VCD yang disebar luas di negeri ini.