Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah Rayuan perintah kes dadah dibicara semula
Diterbitkan:  Feb 3, 2026 8:36 PM
Dikemaskini: 12:36 PM

Mahkamah Rayuan hari ini mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 30 tahun yang dikenakan ke atas dua sahabat kerana mengedar dadah, serta memerintahkan kes berkenaan dikembalikan ke mahkamah tinggi untuk dibicarakan semula.

Hakim Azmi Ariffin, Noorin Badaruddin dan Mohd Radzi Abdul Hamid memutuskan bahawa prosiding perbicaraan di mahkamah tinggi adalah batal selepas seorang daripada tertuduh diwakili individu yang tidak mempunyai kelayakan guaman sah.

Ketika menyampaikan keputusan mahkamah, Azmi berkata individu yang mewakili Mohd Najmi Abd Rahim tidak mempunyai kelayakan mengikut Akta Profesion Undang-Undang 1976, namun tetap memainkan peranan aktif sebagai peguam bela di sepanjang perbicaraan.

Katanya integriti perbicaraan telah terjejas apabila seorang daripada tertuduh diwakili peguam palsu, sekali gus menjadikan prosiding berkenaan terbatal.

“Isu yang dibawa ke mahkamah ini bukan mengenai kompetensi tetapi lebih kepada isu kesahihan di sisi undang-undang individu yang mewakilinya,” kata hakim terbabit.

Berikutan itu, Azmi berkata, sabitan dan hukuman yang dikenakan ke atas perayu, Muhammad Zarif Mohd Noor Ajala dan Mohd Najmi, diketepikan manakala kes tersebut dirujuk semula ke Mahkamah Tinggi Seremban untuk dibicarakan semula.

Dia menetapkan 24 Feb untuk sebutan di mahkamah tersebut dan mengeluarkan waran untuk menahan kedua-dua perayu sementara menunggu perbicaraan semula.

Pada 18 Ogos 2023, Mahkamah Tinggi Seremban mensabitkan Muhammad Zarif, 48, dan Mohd Najmi, 38, atas kesalahan mengedar 768.9 gram (g) methamphetamine serta menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan setiap seorang.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran makanan segera di Persiaran Pusat Bandar Nilai, Negeri Sembilan kira-kira jam 3.45 petang, 18 Sept 2018.

Mohd Najmi juga dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan tiga sebatan kerana memiliki 13.11 g dadah yang sama di tempat, tarikh dan masa yang sama. Kedua-dua hukuman itu berjalan serentak.

Semasa prosiding hari ini, peguam Mohd Najmi, R Palaya, memohon mahkamah menerima bukti baru mengenai individu yang mewakili anak guamnya.

Palaya berkata dia hanya menyedari individu terbabit tidak mempunyai kelayakan undang-undang selepas dia ditahan.

Katanya, individu berkenaan kemudian didakwa dan dikenakan denda atas tiga kesalahan termasuk satu di bawah Akta Profesion Undang-Undang 1976 pada tahun lalu.

Bagaimanapun, timbalan pendakwa raya Abdul Malik Ayob berhujah bahawa Mohd Najmi turut diwakili peguam lain yang berkelayakan semasa perbicaraan di mahkamah tinggi.

Peguam Goh Cia Yee yang mewakili Muhammad Zarif turut menyokong hujah Palaya supaya kes berkenaan dibicarakan semula.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS