Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mara tak akan kompromi, tutup isu salah laku petugas - Asyraf

Majlis Amanah Rakyat (MARA) tidak akan berkompromi atau menutup sebarang isu integriti dan salah laku melibatkan petugasnya.

Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata agensi itu akan memastikan tindakan diambil sewajarnya oleh pihak berkuasa terhadap individu yang didapati melakukan kesalahan termasuk pecah amanah.

Beliau berkata perkara yang melibatkan integriti, disiplin dan kepatuhan kepada tadbir urus yang tinggi sentiasa ditekankan oleh MARA.

"Kita tidak akan kompromi sebab itulah kita tidak pernah menutup dan tidak pernah menyoroknya (integriti dan salah laku) di bawah permaidani.

"Kalau melibatkan pecah amanah membabitkan wang dan sebagainya kita sendiri akan lapor kepada polis dan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), biar mahkamah yang menentukan," katanya pada sidang media ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Logistics Learning Provider (LLP) di Kolej Profesional MARA Bandar Penawar, di Kota Tinggi, Johor, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai usaha MARA membanteras sebarang isu integriti melibatkan petugasnya.

Sehubungan itu, Asyraf Wajdi mengingatkan setiap warga MARA agar mengamalkan budaya kerja 3iP yang iaitu integriti, ihsan dan inovatif.

Bagaimanapun, beliau berkata budaya itu perlu seiring dengan tahap profesionalisme yang tinggi dalam kalangan petugas, termasuk mematuhi tatakelola ditetapkan.

"Sudah tentu, kita manusia pun tidak sempurna tetapi itu tidak menjadikan alasan untuk kita boleh merelakan ataupun menghalalkan sebarang salah laku yang berlaku," katanya.

Pada 19 Jan lepas, seorang bekas penolong pegawai MARA didakwa pecah amanah ke atas wang yang didepositkan ke dalam akaun miliknya bagi tujuan pembayaran pinjaman MARA di bawah beberapa skim pembiayaan, sebelum menyalahgunakan wang berkenaan untuk kegunaan sendiri.

Bagaimanapun, wanita berusia 40 tahun itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Muar atas 25 pertuduhan pecah amanah jenayah, melibatkan wang berjumlah RM15,839.66 milik empat individu berkaitan pembayaran pinjaman itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS