Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM umum pengecualian cukai 10 tahun buat yayasan pendidikan

Kerajaan telah meluluskan pengecualian cukai selama 10 tahun bagi semua badan dan yayasan pendidikan.

Menurut Perdana Menteri Anwar Ibrahim, keputusan itu diumumkan dalam satu sesi dialog (town hall) bersama pelajar Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) di Kuala Lumpur.

“Badan-badan atau yayasan pendidikan, peraturan ditetapkan oleh MOF, kalau tujuannya untuk pendidikan, yayasan sseperti Yayasan TAR kita luluskan pengecualian cukai 10 tahun,” katanya.

Anwar sebelum itu menyampaikan cek bernilai RM40 juta kepada yayasan universiti berkenaan, yang diperuntukkan oleh Putrajaya sebagai geran bagi kos operasinya.

Pada sidang media kemudiannya, Presiden MCA, Dr Wee Ka Siong, yang juga pengerusi lembaga pemegang amanah Yayasan Pendidikan TARC, menzahirkan penghargaan universiti tersebut atas kemudahan yang diberikan kerajaan.

Dia berkata geran dan pengecualian cukai tersebut merupakan berita baik bagi semua pihak yang terlibat dalam usaha memperkasakan sektor pendidikan negara.

“Saya fikir ini adalah berita yang sangat baik, dan secara kebetulan, status pengecualian cukai kami (TAR UMT) baru sahaja tamat pada 31 Disember 2025.

“Dengan (pelanjutan pengecualian cukai) ini, ia akan memberi kami ruang untuk merangka lebih banyak perancangan,” katanya.

Pada awal Disember lalu, Wee pernah meluahkan kebimbangannya mengenai status pengecualian cukai universiti tersebut memandangkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) masih belum meluluskan sebarang pelanjutan.

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu dilaporkan berkata kelewatan tersebut akan memberi kesan serius kepada ribuan pelajar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS