Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Samsuri: Krisis kepimpinan PN selesai bila majlis tertinggi bermesyuarat
Diterbitkan:  Feb 4, 2026 5:44 PM
Dikemaskini: 9:44 AM

Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar, yakin kemelut yang melanda PN akan dapat diselesaikan tidak lama lagi.

Bercakap kepada media di Kuala Terengganu hari ini, Ahmad Samsuri berkata, isu tersebut diyakini dapat diatasi apabila Majlis Tertinggi PN mengadakan mesyuarat.

Bagaimanapun Menteri Besar Terengganu itu mengakui dia sendiri tidak pasti bila mesyuarat tersebut akan berlangsung.

"Insya-Allah apabila mesyuarat PN diadakan, Majlis Tertinggi PN diadakan - yang datangnya saya pun saya tak tahu bila - akan dapat diselesaikan," katanya.

Rakaman sidang media itu dimuat naik di media sosial hari ini.

Terdahulu Ahmad Samsuri menghadiri majlis menandatangani perjanjian i antara Yayasan Terengganu dan Batik Air yang berlangsung di Wisma Darul Iman.

PN masih bergelut untuk memuktamadkan kedudukan ketua gabungan parti pembangkang itu selepas Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, membuat kenyataan berundur dari jawatan pengerusi.

Mengikuti langkah Muhyiddin ialah Setiausaha Agung Bersatu, Azmin Ali, yang menjadi Setiausaha Agung PN.

Pengunduran Muhyiddin bagaimanapun perlu mendapat kelulusan daripada Majlis Tertinggi PN. Sehingga kini badan itu masih gagal bermesyuarat di sebalik gesaan daripada PAS, termasuk presiden parti itu, Abdul Hadi Awang.

Bukan ahli mesyuarat lagi

PAS juga secara terbuka menegaskan iltizam mereka mahu mengambil alih posisi ketua PN ekoran kemelut yang melanda terkait isu kepimpinan kerajaan Perlis.

Untuk rekod, kejadian di Perlis bukanlah satu-satunya krisis yang membayangi hubungan tegang di antara PAS dan Bersatu.

Kira-kira setahun sebelum Bersatu mendapat jawatan Menteri Besar Perlis - sekali gus PAS terlepas satu daripada empat jawatan yang dipegangnya - Ahmad Samsuri sendiri membuat kejutan apabila tiba-tiba meletakkan jawatannya sebagai Bendahari Agung PN.

Jawatan itu juga masih tidak diisi sehingga kini di sebalik penegasan PAS bahawa mereka bersedia mengemukakan calon pengganti kepada Ahmad Samsuri.

Pertembungan di antara PAS dan Bersatu turut merebak menjadi pertikaian terbuka dengan kedua-dua pihak saling menyerang antara satu sama lain sebelum 'gencatan senjata' dibuat.

Ahmad Samsuri berkata komitmen PAS ketika ini ialah memperkukuh PN dan bukan bergerak solo - seperti yang pernah mereka lakukan semasa mengharungi PRU ke-14.

Justeru, katanya, tidak timbul isu PAS mahu bersendirian.

"Kita (PAS) menyedari hakikat realiti politik semasa yang ada dalam negara kita ni dan kita akan perkuatkan PN," katanya.

Mengenai ura-ura dia akan dilantik sebagai pengganti Muhyiddin selaku Pengerusi PN, Ahmad Samsuri berkata, dia tidak tahu mengenai perkara itu.

"Saya bukan ahli mesyuarat lagi (selepas meletak jawatan bendahari).

"Nanti sampai waktu dan ketikanya bila, kita tengok macam mana," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS