Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mat Sabu serah pada pihak berkuasa siasat isu Agrobank
Diterbitkan:  Feb 6, 2026 9:33 AM
Dikemaskini: 1:48 AM

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat isu kerugian Bank Pertanian Malaysia Bhd (Agrobank) membabitkan lebih RM200 juta akibat kes jenayah penipuan dalam talian.

Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata perkara berkenaan terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia dan Bank Negara Malaysia (BNM).

”Kita serah 100 peratus kepada mereka untuk menyiasat, saya tak boleh berikan komen lanjut,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Anugerah Kecemerlangan MADANI Agro, di Shah Alam, semalam.

Kelmarin, media melaporkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam jawapan bertulis di Parlimen mengesahkan Agrobank mengalami kerugian RM203.8 juta akibat penipuan dalam talian yang dilaporkan pada November tahun lepas.

Saifuddin berkata ‎sebanyak 47 individu ditahan berkaitan ‎kes itu dengan tiga telah didakwa mengikut Seksyen 424C(1) Kanun Keseksaan atas kesalahan penggunaan ‎akaun keldai.

Beliau yang tidak mendedahkan butiran terperinci mengenai ‎penipuan berkaitan Agrobank dalam jawapan sama turut memaklumkan ia tidak melibatkan sebarang akaun pelanggan institusi kewangan itu.

Siasatan terhadap 44 suspek lain masih ‎diteruskan dan polis sedang memuktamadkan kertas siasatan dengan ‎bantuan CyberSecurity serta Bank Negara.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS