Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Genap sebulan di IJN, Mahathir diberi 'pelepasan balik rumah'
Diterbitkan:  Feb 6, 2026 3:28 PM
Dikemaskini: 7:39 AM

Bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad kini dibenarkan pulang ke rumah secara berperingkat atau 'home leave' selepas genap sebulan menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Setiausaha Akhbar beliau, Sufi Yusoff berkata pasukan perubatan IJN setakat ini berpuas hati dengan tahap kemajuan pemulihan kesihatan serta tindak balas bekas perdana menteri itu terhadap rawatan dan fisioterapi yang diberikan.

“Hari ini genap sebulan Dr Mahathir dirawat dan sejak dua hari lepas, pada 4 dan 5 Februari, Dr Mahathir telah dibenarkan home leave iaitu pulang dan tidur di kediaman beliau.

“Di sebelah siang pula, Dr Mahathir ke IJN untuk meneruskan rawatan dan pemerhatian pihak perubatan.

“Walaupun dibenarkan pulang ke rumah secara berperingkat Dr Mahathir tetap berada dalam pemantauan pasukan perubatan IJN,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Dr. Mahathir sebelum ini dimasukkan ke IJN pada 6 Januari lalu setelah patah tulang pinggul kanan akibat terjatuh di kediamannya di The Mines.

Meskipun menunjukkan perkembangan positif, dia dilaporkan masih berada di bawah pemantauan rapi pasukan perubatan IJN.

“Pakar perubatan menasihatkan agar beliau tidak menerima sebarang pelawat buat masa ini, kecuali ahli keluarga terdekat.

“Dr Mahathir bersama isteri dan keluarga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan serta terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa mengambil berat, bertanya khabar serta mendoakan kesihatan dan kesejahteraan beliau,” kata Sufi lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS