Perdana Menteri India Narendra Modi, yang sedang dalam lawatan rasmi dua hari ke Malaysia diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, di Putrajaya hari ini.
Ketibaan Modi pada 9.08 pagi disambut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan majlis sambutan rasmi dimulakan dengan persembahan lagu kebangsaan kedua-dua negara.
Modi kemudian memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (Istiadat) yang diketuai oleh Mejar Muhamad Nur Addeen Mustaza, manakala pancaragam diketuai oleh Kapten (Dom) Mohd Fahmy Harun daripada Pancaragam Pusat Rejimen Renjer Diraja.
Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Digital Gobind Singh Deo, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, anggota Kabinet, diplomat asing dan pegawai kanan kerajaan.
Lawatan Modi ke Malaysia adalah atas jemputan Perdana Menteri dan bertujuan membalas lawatan rasmi Anwar ke India pada Ogos 2024.
Selepas upacara sambutan, Modi menandatangani buku pelawat sebelum menghadiri mesyuarat dua hala dan jamuan tengah hari bersama Anwar di Kompleks Seri Perdana.
Menurut kenyataan Kementerian Luar, kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan hubungan dua hala serta meneroka peluang kerjasama antara Malaysia dan India, khususnya dalam sektor perdagangan dan pelaburan, pertahanan dan keselamatan, tenaga kerja, pelancongan, kesalinghubungan, pertanian serta pendidikan.
Kedua-dua Perdana Menteri turut menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang pembanterasan dan pencegahan rasuah, piawaian latihan, pensijilan dan pengawasan pelaut, pengurusan bencana, perjanjian penerbitan audiovisual serta Memorandum Kerjasama (MoC) dalam bidang tenaga kerja.
Selain itu, kedua-dua pemimpin juga menyaksikan Pertukaran Nota (EoN) dalam bidang semikonduktor, kesihatan, keselamatan negara serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
India merupakan rakan dagang terbesar Malaysia di rantau Asia Selatan, dengan jumlah perdagangan antara kedua-dua negara mencecah USD18.59 bilion (RM79.49 bilion) pada 2025.
Nilai eksport Malaysia ke India direkodkan sebanyak USD12.24 bilion (RM52.3 bilion), manakala import pula berjumlah USD6.35 bilion (RM27.19 bilion).
Eksport utama negara terdiri daripada minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit, selain produk elektrik dan elektronik, manakala import pula didominasi produk pertanian, petroleum dan kimia.
- Bernama
