Ketua Dewan Pemuda PAS pusat (DPP), Salahuddin Ayub sekali lagi mencabar Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Tan Sri Rashid Abdul Rahman untuk mengadakan debat terbuka mengenai ketelusan SPR mengendali pilihanraya.

Cabaran tersebut terkandung dalam sepucuk surat yang dihantarnya ke pejabat SPR di Putrajaya pagi tadi. Ia diterima oleh pembantu khas pengerusi SPR itu, Jamilah Mohamed.

Turut mengiringi Salahuddin menyerahkan surat tersebut ialah Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasarudin Hassan dan Setiausahanya, Ahmad Sabki Yusof.

Ini merupakan kali kedua Salahuddin mencabar Rashid mengadakan debat terbuka. Kali pertama ialah selepas pilihanraya kecil Batu Talam di Pahang, Januari tahun lalu.

Dalam surat tersebut, Ketua Pemuda PAS itu berkata, debat itu perlu diadakan supaya rakyat mengetahui hakikat sebenar perjalanan pilihanraya yang didakwa SPR telus tanpa ada penyelewengan.

"Saya merujuk kenyataan Tan Sri baru-baru ini supaya pembangkang memulaukan pilihanraya umum pada kali ini.

"Tan Sri seolah-olah sengaja menggalakkan rakyat menggunakan cara tidak demokratik melalui penipuan pilihanraya," katanya dalam surat itu lagi.

Salahuddin mendakwa, Rashid telah cuba mengalihkan perhatian rakyat dengan menjadikan protes dan ketidakpuasan hati rakyat terhadap sistem pilihanraya, sebagai premis untuk mendesak pembangkang memberi kemenangan percuma kepada Barisan Nasional.

Menurutnya, beliau menunggu persetujuan Rashid untuk mengadakan debat terbuka tersebut.

Beliau yang juga ahli Parlimen Kubang Krian berkata, Rashid boleh memilih tarikh, tempat dan masa yang sesuai serta mahu ianya diadakan secara langsung untuk membolehkan rakyat mengadilinya.

"Saya memberikan tempoh tujuh hari bertarikh surat ini untuk Tan Sri memberikan jawapan," katanya dalam surat tersebut.