Timbalan Ketua Pemuda MCA, Ling Hee Leong membidas kepimpinan parti itu berhubung cara mereka mengendalikan skandal seks yang membabitkan bekas Naib Presidennya, Datuk Dr Chua Soi Lek.

Hee Leong (foto), anak bekas Presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik - yang memilih Datuk Seri Ong Ka Ting sebagai penggantinya - berkata, ahli politik juga mempunyai kehidupan peribadi sama seperti dengan orang lain.

"Jika tidak, kita perlu bina tandas kaca khas tanpa pintu untuk orang politik (supaya semua orang dapat lihat mereka di dalam)," katanya kepada malaysiakini hari ini.

Komen pedas beliau itu menguatkan lagi spekulasi mengenai perebutan kuasa dalam MCA.

Ia dipercayai mendorong Chua meletakkan semua jawatan dalam parti dan kerajaan minggu lalu, ekoran pengedaran video yang menunjukkan beliau mengadakan hubungan seks dengan seorang wanita.

Ia dirakamkan oleh empat kamera tersembunyi di sebuah bilik hotel di Batu Pahat, dan diedarkan secara meluas oleh individu-individu yang tidak dikenali di kawasan kubu kuat Chua di Johor.

Pengedaran video itu telah mencetuskan spekulasi bahawa ia dilakukan oleh orang dalam parti untuk membunuh karier politik Chua. Beliau terpilih ke jawatan nombor tiga parti itu dalam pemilihan parti itu pada 2005 dengan memperolehi undi kedua terbanyak di antara empat naib presiden.

Chua, 61, dikatakan berminat bertanding dua jawatan tertinggi parti dalam pemilihan parti tahun ini dan merupakan pencabar terkuat kepada Ka Ting atau Timbalannya, Datuk Chan Kong Choy, jika beliau mahu mencabar mereka.

Kepimpinan tertinggi MCA yang mengadakan mesyuarat tergempar sejurus selepas Chua meletakkan jawatan, menerima keputusan bekas menteri kesihatan itu.

‘Keluar dari parti!’

Ketika diminta mengulas hari ini, Hee Leong - yang merupakan ketua MCA bahagian Kuala Kangsar - berkata beliau tidak mahu dibabitkan dalam perdebatan tersebut walaupun beliau sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan yang menyifatkannya sbagai 'satu plot politik'.

Tanpa menyebut nama, beliau bagaimanapun mengambil pendirian tegas terhadap mereka yang merasa terancam dengan populariti Chua.

“(Sebarang pertandingan bermakna) memberi perwakilan pilihan, itulah sepatutnya caranya. Jika (orang) tidak boleh menerima cabaran, mereka sepatutnya keluar dari parti," tegasnya.

Beliau juga berkata, parti itu sepatutnya mencuba dan mengenalpastai mereka yang bertanggungjawab di sebalik kontroversi tersebut, walaupun siasatan polis telahpun dijalankan.

“Kita adalah sebuah parti yang telus dengan budaya politik yang sihat. Kita mesti menyiasat sedalam-dalamnya kerana ini bukan parti milik presiden atau setiausaha agung (abang Ka Ting, Ka Chan). Saya dilahir dan dibesarkan dalam parti ini juga," hujahnya.

“Kita mesti mencari mereka yang melakukannya. - bukan macai-macai. Boleh jadi ada banyak kambing-kambing (korban) tetapi kita mesti mencari gembalanya.

Istilah 'budaya politik sihat' diperkenalkan oleh Ka Ting selepas berlakunya perebutan kuasa antara puak Team A dengan Team B masing-masing dipimpin oleh LIng Sik (foto) dan timbalannya Datuk Lim Ah Lek.

Mereka meletak jawatan bersama pada Mei 2003 di bawah rancangan damai yang diusahakan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Dr Mahathir Mohamad dan menamakan penyokong masing-masing - Ka TIng dan Chan - sebagai pengganti mereka.

Walaupun Ka Ting dan Chua adalah dari Team A, tetapi mereka dikatakan tidak sehaluan sejak tahun lalu, walaupun mereka berdua telah menafikannya.

Ka Ting dilantik sebagai pemangku menteri kesihatan minggu lalu - satu pengumuman yang menurut para pemerhati, akan membuka jalan kepada abangnya dilantik memegang jawatan tersebut selepas pilihanraya umum akan datang, yang dijangka diadakan Mac depan.

Kerusi Parlimen

Chua merupakan penyokong setia Liong Sik yang menjadi presiden selama 17 tahun.

Liong Sik, yang melepaskan kerusi Parlimennya untuk ditandingi oleh Chua, sehingga ini belum mengulas mengenai skandal seks bekas menteri kesihatan itu.

Tetapi kenyataan pedas Hee Leong hari ini dijangka akan menarik perhatian menjelang mesyuarat jawatankuasa pusat parti itu esok.

Dipercayai jawatan naib presiden yang dikosong oleh Chua tidak akan diisi sehinggalah pemilihan parti diadakan - yang akan bermula April depan. Ka Ting juga dijangka memangku jawatan pengerusi MCA Johor, difahamkan bertujuan untuk menstabilkan keadaan.

Mengenai perkara itu, Hee Leong, dengan sinis berkata: "Ia akan menjadi satu penghormatan dan kebanggaan bagi (ahli MCA) Johor mendapatkan presiden sebagai pengerusi negeri itu."

Beliau bagaimanapun menambah, Ka Ting - sebagai ahli Parlimen dari Johor - adalah dalam kedudukan yang baik untuk memahami keperluan ahli akar umbi di negeri itu.

Hee Leong dikatakan akan bertanding di kerusi Parlimen Labis - yang diwakili oleh Chua selepas bapanya Ling Sik - dalam pilihanraya umum akan datang.

Bagaimanapun beliau tidak menjawab soalan sama ada pelantikan Ka Ting itu akan menjejaskan peluangnya, walaupun cakap-cakap terbaru menyebut rundingan untuk meletakkan Hee Leong bertanding di kerusi tesebut, telahpun gagal.

“Saya tidak kisah tentang diri saya...lagi pula, siapakah Ling Hee Leong" soalnya dalam nada sinis.