Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menegaskan bahawa usaha mereformasi integriti negara tidak boleh terhenti sekadar pada keputusan atau persetujuan di peringkat dasar semata-mata.
Sebaliknya, badan pengawasan itu menyeru agar tindakan yang kredibel dan memberi impak nyata dilaksanakan segera bagi memastikan sasaran Malaysia memecah kedudukan 25 negara teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International menjelang 2033 tercapai.
"Naratif terhadap rasuah dan salah laku perlu diubah. Penjawat awam digesa melihat amalan tersebut sebagai satu bentuk rompakan terhadap negara yang menuntut tindakan berani tanpa kompromi.
"Ini menuntut pihak berkuasa dan ketua jabatan untuk lebih terbuka dan sanggup mengambil tindakan yang mungkin tidak popular.
"Ia termasuk melaksanakan syor tatatertib dan menyingkirkan pegawai yang korup sebagai langkah tegas menegakkan akauntabiliti institusi," kata EAIC dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dibuat susulan perkembangan terbaru CPI yang menyaksikan Malaysia mencatatkan skor 52 mata dan berada di kedudukan ke-54 dunia.
Sebelum ini, dilaporkan bahawa Malaysia meningkatkan kedudukannya dalam CPI Transparency International untuk tahun 2025, selepas dua tahun kekal di kedudukan sama.
Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Raymon Ram, mengumumkan bahawa negara ini telah meningkat ke tangga ke-54 paling kurang rasuah daripada 182 negara dan wilayah yang dinilai oleh badan pemantau antirasuah.
Ini menunjukkan peningkatan daripada kedudukan ke-57 dalam ranking pada tahun 2023 dan 2024.
Menurut laporan CPI 2025, skor Malaysia turut meningkat kepada 52 mata berbanding 50 mata dalam dua tahun sebelumnya.
Walau bagaimanapun, presiden TI-M memberi amaran bahawa peningkatan skor Malaysia pada tahun 2025 menandakan potensi kemajuan, tetapi tidak seharusnya membawa kepada sikap sambil lewa.
Mengulas lanjut mengenai reformasi institusi, EAIC menyambut baik saranan TI-M berhubung penubuhan Ombudsman Malaysia.
Bagaimanapun, EAIC mengingatkan bahawa penubuhan badan tersebut perlu dirancang dengan teliti tanpa sebarang kelompangan bagi memastikan ia lebih berkesan berbanding agensi sedia ada.
"Sebagai Ketua Peneraju Focus Group Penguatkuasaan di bawah Pasukan Petugas Khas CPI, EAIC komited untuk terus memperkukuh mekanisme tadbir urus bagi memastikan integriti agensi penguatkuasaan tidak goyah.
"Melalui komitmen terhadap tindakan nyata, Malaysia mampu mencapai kedudukan 25 teratas CPI dan meneguhkan kembali keyakinan rakyat," tambahnya lagi.
