Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu saham Azam Baki: JPA bakal kemas kini garis panduan sejak 2002
Diterbitkan:  Feb 12, 2026 12:08 PM
Dikemaskini: 4:11 AM

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang menyemak semula peraturan dan garis panduan yang telah dilaksanakan selama lebih 20 tahun atau yang tidak lagi relevan.

Ini termasuk peraturan berkaitan pekerjaan luar dan pemilikan saham. Peraturan pemilikan saham - yang menyatakan bahawa penjawat awam tidak boleh membeli saham bernilai lebih daripada RM100,000 dalam sesebuah syarikat - telah berkuat kuasa sekurang-kurangnya sejak tahun 2002.

"(Semakan itu) berdasarkan kepada keperluan dan keadaan semasa meliputi pelbagai aspek perubahan yang telah berlaku di dalam persekitaran kerajaan, ekonomi, perniagaan dan teknologi,” kata jabatan tersebut.

Walaupun tidak menyebut sebarang kes secara khusus, pengumuman itu dibuat selepas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, terpalit dengan skandal mengenai pegangan sahamnya dalam dua syarikat seperti yang dilaporkan oleh Bloomberg dan Malaysiakini.

Potensi nilai pegangan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM itu telah mencetuskan persoalan sama ada dia telah melanggar peraturan perkhidmatan awam mengenai had pembelian saham tidak melebihi lima peratus daripada modal berbayar atau nilai semasa RM100,000, yang kali terakhir dikemaskini pada 2024.

Azam, semalam menyatakan bahawa pegangan sahamnya tidak melibatkan modal berbayar tetapi sebaliknya diperoleh melalui pembelian di pasaran terbuka.

Rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendedahkan bahawa pada satu ketika, Azam pernah memegang 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Berhad dan sekitar 4.52 juta saham dalam Awanbiru Technology Berhad.

Azam Baki

Ketua pesuruhjaya SPRM itu berkata dia telah mengisytiharkan semua pegangan sahamnya kepada JPA dan telah melupuskan portfolionya menjelang Julai tahun lalu, walaupun dia tidak menyatakan tarikh yang khusus.

Antara 1 Jun dan 31 Julai tahun lalu, saham Velocity Capital Partner telah diniagakan serendah RM0.06 sesaham dan RM0.075 sesaham.

Sekiranya Azam melupuskan sahamnya dalam syarikat itu dalam tempoh tersebut, nilai saham berkenaan boleh mencecah antara RM1.06 juta hingga RM1.327 juta.

Bagi Awanbiru Technology pula, harga saham mereka bagi tempoh 1 Jun hingga 31 Julai 2025 adalah antara RM0.275 sesaham hingga RM0.305.

Sekiranya Azam melupuskan sahamnya dalam syarikat tersebut dalam tempoh itu, nilai saham berkenaan boleh mencecah antara RM1.24 juta hingga RM1.378 juta.

Pendedahan mengenai pegangan saham Azam telah mencetuskan desakan daripada penyokong kerajaan dan pihak pembangkang agar ketua pesuruhjaya SPRM itu meletak jawatan, digantung atau dipecat, serta disiasat.

Walau bagaimanapun, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempertahankan ketua pencegah rasuah itu, dengan mengatakan bahawa pengkritik perlu membaca penjelasannya.

Ini adalah kali kedua ketua pesuruhjaya SPRM itu menjadi tumpuan berhubung portfolio dagangan sahamnya.

Pada penghujung 2021, dia pernah dipersoalkan berhubung pemilikan saham dalam sebuah syarikat yang juga melebihi had RM100,000.

Pada Januari 2022, Azam berkata dia telah memaklumkan kepada Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) SPRM bahawa saham tersebut dibeli oleh adiknya yang ‘meminjam’ namanya, dan dia percaya dirinya tidak melakukan sebarang kesalahan.

Pengisytiharan tersebut mencetuskan siasatan Suruhanjaya Sekuriti yang akhirnya mendapati tiada bukti perdagangan proksi kerana Azam mempunyai "kawalan" ke atas akaun dagangannya sendiri.

Pada 20 Jan 2022, Anwar, yang ketika itu merupakan ketua pembangkang, berjanji untuk membangkitkan perkara itu dengan perdana menteri ketika itu, Ismail Sabri Yaakob.

Ini selepas Pemuda PKR (AMK) menyerahkan memorandum kepadanya, yang antara lain menggesa agar ketua pesuruhjaya SPRM mengisytiharkan hartanya.

Bagaimanapun, sejak memegang jawatan sebagai perdana menteri pada November 2022, Anwar menjadi penyokong lantang Azam, malah pernah menyatakan bahawa Azam adalah satu-satunya individu yang cukup berani untuk memburu pemimpin yang korup.

Anwar juga telah melanjutkan kontrak Azam sebagai ketua pesuruhjaya SPRM sebanyak tiga kali selepas tempoh persaraannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS