Laporan polis terhadap pengerusi SPR
Dewan Pemuda PAS (DPP) Wilayah Persekutuan telah membuat laporan polis terhadap Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berhubung kenyataannya mencabar parti-parti pembangkang supaya tidak menyertai pilihanraya umum akan datang sekiranya tidak yakin dengan keadilan serta ketelusan sistem pilihanraya negara ini.
Laporan tersebut dibuat oleh Ketua DPP Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad di Balai Polis Dang Wangi hari ini, mengikut Seksyen 107, Kanun Acara Jenayah (KAJ).
Berita tersebut disiarkan oleh akhbar harian berbahasa Melayu, Utusan Malaysia bertarikh 1 Januari 2008 yang bertajuk "SPR cabar pembangkangkah jangan tanding pilihanraya".
Dewan Pemuda PAS (DPP) Wilayah Persekutuan telah membuat laporan polis terhadap Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berhubung kenyataannya mencabar parti-parti pembangkang supaya tidak menyertai pilihanraya umum akan datang sekiranya tidak yakin dengan keadilan serta ketelusan sistem pilihanraya negara ini.
Laporan tersebut dibuat oleh Ketua DPP Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad di Balai Polis Dang Wangi hari ini, mengikut Seksyen 107, Kanun Acara Jenayah (KAJ).
Berita tersebut disiarkan oleh akhbar harian berbahasa Melayu, Utusan Malaysia bertarikh 1 Januari 2008 yang bertajuk "SPR cabar pembangkangkah jangan tanding pilihanraya".
Dalam temubual dengan akhbar berkenaan, Abdul Rashid (kanan) dilaporkan sebagai berkata, tidak ada gunanya pihak pembangkang menyertai pilihanraya tersebut jika mereka tetap dengan tindakan mengutuk serta menuduh sistem pilihan rayadi Malaysia penuh dengan penyelewengan.
Abdul Rashid juga menyatakan kesalnya dengan tindakan itu, mahu pembangkang lebih rasional dan bertanggungjawab sebelum melemparkan dakwaan..
Berikutan itu, beliau mencabar pembangkang supaya tidak menyertai pilihanraya umum akan datang jika mereka terus menuduh SPR dengan tuduhan yang bukan-bukan.
Cabaran terbuka
Dalam laporan polisnya, Kamaruzaman berkata, DPP Wilayah Persekutuan melihat kenyataan pengerusi SPR itu sebagai melampau serta amat tidak bertanggungjawab dan tidak sepatutnya diucapkan oleh seorang yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong menurut peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Cabaran yang dibuat oleh Tan Sri Rashid atas kapasiti selaku pengerusi SPR juga menunjukkan betapa beliau seolah-olah mengambil sikap bermusuhan dengan parti-parti politik pembangkang, selain turut menunjukkan bahawa pengerusi SPR bersikap berat sebelah dan prejudis hingga menyebabkan hilangnya keyakinan kami selaku parti politik terhadap ketelusan SPR," katanya lagi.
Akibat dari keadaan ini, tambahnya DPP Wilayah Persekutuan beranggapan kenyataan pengerusi SPR itu juga merupakan satu perlanggaran nyata terhadap peruntukan Perkara 114 (2) Perlembagaan Persekutuan yang secara tegas mengkehendaki supaya SPR menjadi satu suruhanjaya yang mendapat keyakinan dan kepercayaan daripada rakyat Malaysia.
"Maka, sekiranya pengerusi SPR bertindak menjadi seolah-olah seorang ahli politik dengan membuat cabaran terbuka kepada parti-parti politik yang merupakan pelanggan kepadanya, maka apa lagi keyakinan yang dapat diharapkan sebagaimana yang dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan selaku undang-undang tertinggi di dalam negara ini," kata Kamaruzaman.
Katanya, DPP Wilayah Persekutuan juga melihat cabaran terbuka yang dibuat oleh pengerusi SPR tersebut merupakan suatu yang amat merbahaya dan bersifat provokatif serta boleh menimbulkan suasana tidak tenteram di dalam negara ini.
"Dalam keadaan kami dari parti pembangkang sentiasa komited untuk mendapatkan pilihanraya yang adil dan telus, tidak sepertimana perjalanan pilihanraya yang diadakan selama ini yang jelas tidak adil dan banyak memberikan kelebihan kepada parti pemerintah, cabaran pengerusi SPR ini adalah satu hasutan supaya supaya pilihanraya tidak lagi dilihat sebagai mekanisme yang sah untuk rakyat memilih pemimpin," katanya.
Ketelusan SPR
Kamaruzaman berkata, pengerusi SPR nampaknya mahu rakyat yang mempertikai kewibawaannya untuk memilih cara lain bagi melantik pemimpin dan kerajaan.
"Inilah implikasi negatif dari kenyataan tersebut. Sebagai pengerusi SPR, Tan Sri Rashid (kanan) sepatutnya berusaha untuk membuktikan dirinya dan SPR mempunyai kewibawaan dan integriti yang tinggi, selain dari sikap adil dan telus kepada semua pihak.
"Dengan mencabar parti-parti pembangkang supaya tidak bertanding di dalam pilihanraya, pengerusi SPR jelas tidak mahu mengambil sebarang tindakan untuk memperbetulkan kepincangan dan ketidakadilan di dalam proses pengedalian pilihanraya,.
"Sebaliknya cuba bermain politik bagi menutup kelemahannya hingga boleh menyebabkan rakyat tidak lagi yakin bahawa pilihanraya yang dikendalikan oleh SPR sebagai pilihanraya yang adil dan telus," kata Kamaruzaman.
Sesungguhnya, tambah beliau, kenyataan pengerusi SPR itu boleh menimbulkan ancaman terhadap keselamatan negara dan ketenteraman awam apabila rakyat semakin tidak percaya terhadap ketelusan SPR.
Justeru, kata Kamaruzaman, memandangkan kepada kekhuatiran kemungkinan kesan buruk terhadap keselamatan negara yang boleh terhasil akibat dari keceluparan pengerusi SPR itu, maka DPP Wilayah Persekutuan membuat laporan bagi membolehkan polis menjalankan siasatan dan mengambil tindakan undang-undang yang perlu terhadap pengerusi SPR di bawah sebarang peruntukan undang-undang bertulis yang relevan.
Sementara itu, Dewan Pemuda PAS Johor akan membuat laporan polis mengenai perkara yang terhadap terhadap Abdul Rashid pagi esok.

