Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
16 MP Bersatu mahu Muhyiddin berundur, beri laluan kepada Hamzah
Diterbitkan:  Feb 13, 2026 1:45 PM
Dikemaskini: 5:45 AM

Kemelut dalaman Bersatu semakin meruncing hari ini selepas 16 wakil rakyatnya mengeluarkan kenyataan bersama yang menggesa presiden parti, Muhyiddin Yassin, supaya meletak jawatan dan menyerahkan kepimpinan kepada timbalannya, Hamzah Zainudin.

Mereka berpendapat bahawa walaupun Muhyiddin telah banyak berjasa kepada parti, namun dia kini tidak lagi mempunyai keupayaan untuk mengekalkan perpaduan Bersatu dan mengemudi parti itu memenangi pilihan raya.

“Kami menyokong penuh kenyataan Ketua Whip Bersatu, Ronald Kiandee yang mendesak supaya Muhyiddin segera meletak jawatan sebagai presiden Bersatu.

“Tanpa menafikan jasa dan sumbangannya sebelum ini, hakikatnya beliau sudah tidak lagi mampu menyatukan parti dan memimpin parti ke arah kemenangan.

“Kami yakin bahawa Hamzah mampu menjadi pemangku presiden yang baik, mampu mengembalikan agenda Bersatu kepada perjuangan agenda rakyat dan negara, serta mampu menyatukan kembali parti demi memastikan kemenangan,” kata kenyataan itu yang dikongsi di Facebook oleh bekas pemimpin Bersatu, Wan Saiful Wan Jan.

Berdasarkan senarai penandatangan, 16 individu tersebut ialah Ahli Parlimen Kangar, Zikri Hassan; Ku Abdul Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu); Roslan Hashim (Kulim Bandar Baharu); Khlir Mohd Nor (Ketereh); Ikmal Hisyam Abdul Aziz (Tanah Merah); Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang); Rosol Wahid (Hulu Terengganu); Fathul Huzir Ayob (Gerik); Azahari Hassan (Padang Rengas); Nordin Ahmad Ismail (Lumut); Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota); Abdul Khalib Abdullah (Rompin); Kalam Salan (Sabak Bernam); Muslimin Yahaya (Sungai Besar); Islahuddin Abas (Mersing); dan Wan Saiful (Tasek Gelugor).

Dua daripada penandatangan berkenaan — Khlir dan Islahuddin — ketika dihubungi, mengesahkan keaslian kenyataan tersebut.

Bersatu pada asalnya mempunyai 31 Ahli Parlimen selepas pilihan raya umum 2022, namun jumlah itu berkurang kepada 25 selepas parti memecat enam daripada mereka kerana menyatakan sokongan kepada pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Parti itu kemudiannya turut memecat Wan Saiful dan menggantung Wan Ahmad Fayhsal atas dakwaan isu disiplin.

Antara Ahli Parlimen lain yang tidak menandatangani kenyataan hari ini ialah Muhyiddin (Pagoh), Hamzah (Larut), Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah), Radzi Jidin (Putrajaya), Ronald Kiandee (Beluran), Mohd Suhaimi Abdullah (Langkawi), dan Ali Biju (Saratok).

Perpecahan dalam kepimpinan Bersatu dilihat semakin melebar sejak Ronald mengeluarkan kenyataan pada 10 Feb lalu yang menggesa Muhyiddin berundur.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS