Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Loke beri jaminan babi panggang tetap ada setiap Tahun Baru Cina
Diterbitkan:  Feb 13, 2026 7:39 PM
Dikemaskini: 11:39 AM

Menjelang sambutan Tahun Baru Cina, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, memberi jaminan kepada masyarakat Tionghua berikutan kontroversi membabitkan penternakan babi di Selangor.

Menurut China Press, Loke memberitahu hampir 1,000 yang hadir dalam satu majlis makan malam semalam bahawa bekalan daging babi di negara ini adalah stabil, dan dia sendiri akan memastikan babi panggang tersedia untuk setiap jamuan “makan besar” keluarga setiap tahun.

“Tahun Baru Cina tidak akan terasa seperti Tahun Baru Cina tanpa babi panggang, jadi kita mesti ada,” katanya seperti dipetik dalam satu majlis makan malam anjuran kumpulan gereja di Seremban, kawasan parlimen yang diwakilinya.

Pengumuman Loke dilaporkan disambut sorakan dan tepukan gemuruh, sementara gambar acara itu menunjukkan dia dan tetamu lain bergambar bersama babi panggang seekor penuh - hidangan biasa bagi banyak acara keagamaan dan kebudayaan utama dalam budaya Cina.

“Saya boleh beri jaminan kepada semua bahawa akan ada daging babi untuk dimakan setiap hari sepanjang tahun. Malaysia pasti tidak akan kehabisan daging babi,” katanya lagi menurut laporan itu.

Jamuan makan besar Tahun Baru Cina ialah acara keluarga yang secara tradisinya diadakan pada malam sebelum Tahun Baru Cina.

Loke, yang juga Menteri Pengangkutan, menggesa orang ramai supaya tidak mempercayai laporan tidak disahkan mengenai keadaan di Selangor, yang menurutnya menyebabkan orang ramai bimbang bekalan daging babi mungkin tidak lagi ada pada masa hadapan.

Titah sultan

Isu penternakan babi di Selangor baru-baru ini menjadi polemik.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, bertitah baginda tidak memperkenankan penternakan babi dijalankan di negeri itu atas sebab pencemaran dan sumber tanah yang terhad.

Sebaliknya, baginda mencadangkan kerajaan mengeluarkan lesen untuk mengimport daging babi bagi memenuhi permintaan dan keperluan bukan Muslim, khususnya masyarakat Cina di Selangor.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, berkata kerajaan negeri tidak lagi mengeluarkan lesen baru penternakan babi, manakala penutupan ladang sedia ada akan dipercepatkan dan dilaksanakan secara berperingkat.

Kerajaan negeri sebelum ini merancang untuk memindahkan ladang babi dari Tanjong Sepat ke sebuah kemudahan berpusat berhampiran pusat pelupusan sampah Bukit Tagar, namun rancangan itu ditangguhkan selepas menerima bantahan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin, sebelum ini turut memberi jaminan bahawa bekalan daging babi mencukupi bagi sambutan Tahun Baru Cina yang akan datang.

“Sebanyak 60 peratus bekalan daging babi atau babi hidup di Semenanjung datang dari Perak. Jadi Selangor tidak menghasilkan banyak,” katanya bulan lalu, sambil menambah pembekal utama babi hidup di negeri itu telah berjanji tidak akan menaikkan harga sempena Tahun Baru Cina.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS